Showing posts with label Daging. Show all posts
Showing posts with label Daging. Show all posts

September 29, 2017

Kari Daging Meletop

Assalamualaikum!!

Resipi ini adalah versi Philips Pressure Cooker (PPC). Post ini tidak berbayar hehehe.. Jadi bolehla nak guna apa-apa pun pressure cooker maupun periuk biasa.

Akak takda nak tunjuk sukatan bahan yang sebenar sebab akak main campak2 je. Cuma nak tunjuk macamana nak masak guna pressure cooker yang macam ni. Ikutlah resipi kari masing2 ya kalau dah biasa buat tu.  Jadi, idokle PC tu guna hanya untuk merebus atau lembutkan daging jer. Macam2 boleh guna. Setakat ni selain buat masak2 lauk, ada jugak akak buat bakar kek, steam, masak nasi arab, panggang ayam, rebus ketupat, dan sebagainya..

OK..mohle kita ke dapur ye.


KARI DAGING PPC

Bahan2:

500g daging - potong ikut suka
7 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
1 inci halia
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 peket kecil rempah kari daging
Sedikit serbuk cili (boleh guna juga cili kisar)
1 biji tomato
2 biji kentang
1 keping asam gelugur
1 mangkuk santan pekat
Daun kari
Air secukupnya
Garam
Sedikit gula
Minyak untuk menumis

Cara2 :
Lihat pada gambar

1) Tuang minyak secukupnya ke dalam periuk dengan setkan mode 'bake' pada mana2 kategori. Tekan 'start' dan bila minyak telah panas, tumis rempah serta bahan tumbuk/kisar sehingga layu dan naik bau.


2) Masukkan rempah kari, serbuk cili dan daun kari. Tumis hingga pecah minyak.

3)  Masukkan daging, gaul rata. Masak sebentar sampai daging kelihat sedikit pucat, kemudian baru tambah air agak-agak tenggelam sebahagian daging.

4)  Tutup periuk dengan tombol pada 'seal'. Setkan pada 'beef/mutton' dan tekan 'start'. Bila masa memasak sudah selesai, ubah tombol kepada 'release pressure' atau buang wap dan biarkan sampai senyap (tiada lagi wap), baru buka penutup.


5) Masukkan kentang pula. Tutup lagi dan set tombol kepada 'seal'.  Setkan pada 'chicken' yg guna masa sedikit atau boleh saja guna mode 'bake' jika kentang jenis yang mudah lembut. Buka semula penutup.

6) Apabila kentang sudah lembut, menggunakan mode 'bake' pada mana2 kategori, masukkan santan, tomato dan asam keping. Masa ni dah tak perlu tutup periuk. Renih sebentar. Perasakan dengan garam dan sedikit gula jika suka.



June 29, 2016

Serunding Daging Makcik Siti

Projek malam semalam menjelang Syawal.. Asalnya nak buat menu lain, tapi akak dah terebus dengan lembutnya guna pressure cooker. Maka projek 'dendeng' dah jadi 'serundeng'.. hihi! Saja akak buat lembab2 gitu sebab akak tak lalu dah tangan kurus yg tinggal tulang ni nak mengacau lama2. Hari dah jauh malam pulak tu.. sambil2 melangsaikan solat terawih.

Serunding ni rasa macam RENDANG KERING je.. tapi memang sedaplah.. sesuai dgn ketupat palas akak tu.. hehe tu dah siap minggu lepas lagi.. Semuanya kerja kena diatur supaya tak mengganggu tubuh badan, tenaga dan ibadah.


SERUNDING DAGING MAK ITI

Bahan2:

2 kg daging 
6 labu bawang besar (saiz sederhana) - kisar
3 inci lengkuas - kisar
2 inci halia - kisar
5 batang serai - ketuk
5 ulas bawang putih - tumbuk kasar
1 sudu jintan manis (kasar) - sangan dan tumbuk kasar
1 sudu ketumbar - sangan dan tumbuk kasar
3-4 senduk cili kisar (boleh tambah ikut tahap pedas cili & ikut citarasa)
1 cawan gula (ikut citarasa)
3 sk garam halus (ikut citarasa)
2 keping asam gelugur
2 mangkuk santan pekat (saya guna dlm 400g pati santan yang dibeli di market dan tambah sedikit air panas).
Sedikit kerisik 
Minyak secukupnya

Cara2:

1) Rebus daging sehingga empuk dan siat2 halus
2) Panaskan minyak cukup2 dan tumis sebentar bahan kisar iaitu bawang, lengkuas, halia, cili, ketumbar, jintan dan serai yang diketuk.
3) Masukkan daging dan santan. Masak sehingga agak pekat.
4) Tambahkan kerisik, garam dan gula dan kacau sehingga mesra. Gunakan api kecil.
5) Serunding hendaklah sentiasa dikacau sehingga kering


STEPS:

Masuk sekali daging dan santan


Terpulang jika nak lebih kering lagi..

Among the best match.. ready bila2 untuk direbus

May 25, 2016

Rendang Tok Terlajak Rajin

Projek petang kelmarin.. sambil akak baking brownies untuk regular customer akak.. Siap baking barulah gigih merendang dan sebenarnya sebelum tu buat agar2 lumut dulu. Kalau dah datang angin rajin, macam2 nak dibuat. Macam takda masa lain. Sesenja blend bawang dan rempah hihi..

Sebenarnya first time akak buat rendang tok sebab akak bukan orang Perak (alasannya). Selalu buat rendang biasa2 je, takpun rendang hitam yg berasal dari Perak jugak. Semuanya first time termasuk agar2 lumut tu hahaha.. jgn kecam akak yer. Ada benda kita tau buat, ada benda terlepas pandang.. Akak memang tak pernah melengkong walau suka makan lengkong. Lepas ni akak post resipi lengkong tu pulak.

Resipi asal RENDANG TOK ni akak dapat dari MAHN posted by Sheila Zainal Akmar. Ada sikit2 akak tokok tambah bila memasaknya ikut citarasa. Ini untuk future reference. Bila dah sehari, makin rasa sedap pula. Walau guna daging batang pinang import je, amatlah lembut kejadiaannya sebab hampir seharian akak perap dengan soda bikarbonat. Sekarang ni asal daging je, akak akan tabur sikit soda tu supaya cepat lembut. Sebab tu rendang tok akak tak makan jam. Baru 1/2 jam dah lembut, jadi overall masa yang diambil cuma setakat 1 jam untuk sekilo daging. Jimat masa sebab semalam akak penat sangat sebenarnya...


RESIPI RENDANG TOK

Bahan2:
(boleh adjust ikut kesesuaian dan citarasa)

1 kg daging
7 ulas bawang merah - hiris *
5 ulas bawang putih - hiris *
3 labu bawang besar - hiris dan bahagi 2 *
2 inci lengkuas - hiris *
2 inci halia - hiris *
2 inci kunyit - hiris *
5 batang serai - hiris *
1 genggam cili (ikut kepedasan cili) - gunting dan buang biji *
1 sudu jintan manis *
1 sudu jintan putih *
1 sudu ketumbar *
1 batang kayu manis - ketuk2 *
2 kuntum bunga lawang *
Kerisik RM2
Santan pekat secukupnya
Santan cair
Garam dan gula secukup rasa
Kicap pekat (optional)
Sedikit minyak

Cara2:

1) Daging dipotong dadu atau ikut citarasa
2) Masukkan kesemua bahan bertanda (*) ke dalam kuali dan goreng tanpa minyak sehingga naik bau. Tak perlu sampai layu.
3) Kisar bahan2 di atas dengan sedikit air dan minyak
4) Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan2 kisar sebentar. Tak perlu sampai pecah minyak.
5) Masukkan daging dan santan cair.
6) Masukkan juga hirisan bawang besar dalam 2-3 biji atau lebih jika suka. Masak/renih sehingga daging hampir lembut dalam 1 jam (akak buat 1/2 jam sebab daging dah nak lembut masa tu).
7) Masukkan santan pekat, kerisik dan sedikit garam dan gula dahulu.
8) Bila santan hampir kering, masuk kicap pekat (jika suka, supaya kelihatan hitam) dan kacau rata.
9) Akhir sekali, tabur bawang goreng dan daun kunyit atau daun limau purut. "Adjust" rasa garam dan gula. SIAP!


Step by Step

Bahan2 untuk digoreng tanpa minyak
Goreng sampai naik bau sahaja

Selepas bahan kisar ditumis sebentar, masukkan daging dan santan cair
Tabur bawang goreng dan masuk daun limau (atau daun kunyit)

SIAP UNTUK DIMAKAN...



April 17, 2015

Daging Goreng Kunyit dengan Kacang Panjang

Assalamualakum.. dan salam Jumaat nan barokah! Innahu sobahul jameel..

Tapi sebenornya menjelang tengahari ni mendung sudah berarak. Alhamdulillah.. suka akak kalau hujan petang ni. Biar sejuk sikit bumi Jitra. Kami dah berbulan2 fanas di sini.. Namun ingatlah, panas ke hujan ke semua rezeki Allah. Jangan nak merungut.. ingat tu! Bila rasa panas tu, ingatan akak akan terus pulang ke Bahrain di musim panas yang kadang hampir mencecah 50C. Memang negara tu banyak mengajar akak erti bersyukur dan redha.. dan tak mungkin dilupakan kenangan dan saat2 merantau di sana.

Dah sungguh lama akak tak tulis resipi. Tengahari ni akak sangat free walau ada dua bekas kentang yang belum pun disagat untuk digoreng petang ni. Jadi akak nak share resipi simple yang semua orang lebih pandai buat dari akak la rasanya.. Akak je jarang masak lauk2 macam ni. Akak biasa masak kat kedai Tok Keramat atau warung tak bernama kat taman ni... hehehh! Resipi ni akak main agak2 je sebenarnya.. dan campak2.

Lauk ni En Abe yang request beberapa hari lepas. Akak tengok sungguh berselera dia makan. Ditambah dengan ulam-ulaman dan sambal belacan. Alhamdulillah... Akak sendiri menahan diri dari makan daging byk2.. Masa tu akak makan nasi kerabu sdn bhd juga.. :D



DAGING GORENG KUNYIT

Daging secukupnya (anggaran semangkuk lauk) - kalau daging batang pinang lagi sonang!
1 - 2 ulas bawang putih - tumbuk
1 labu bawang besar - mayang
Sedikit kunyit
Kacang panjang - potong 1 inci
1-2 biji cili merah - potong ikut citarasa
1 sudu besar sos tiram (opt)
Garam secukup rasa
Sedikit gula
Lada sulah (akak guna ajishio)
Sedikit minyak masak

Cara2:

1. Daging dipotong nipis dan bersihkan. Perap dengan bawang putih tumbuk, garam dan kunyit dalam 30 minit ke 1 jam (akak perap sepagian).
2. Panaskan minyak dan goreng daging yang telah diperap sampai kering air daging. Kalau belum lembut, tambah air sedikit, tutup kuali dan masak/rebus sehingga lembut. Biasanya kalau daging batang pinang tak mengambil masa yang lama.
3. Taburkan bawang besar dan cili diikuti sos tiram (jgn banyak takut termasin sebab dah letak garam). Boleh juga masukkan kacang sekali jika suka sayur yang lembut, gula dan lada sulah.
4. Kacau dan tutup sebentar sehingga bawang layu dan daging secukup rasa. Matikan api dan hidang.



All time favourite akak... nom nom!!

October 21, 2013

Dendeng Daging Korban

Akak asyik terkenang dendeng daging yang kawan baik saya Ani masak dan buat bisnes sekarang. Nak order punyalah jauh. Dia di Gombak, akak di Jitra. Kalau pos laju boleh ke? Nak buat sendiri, agak malas dan memang tak pernah buat masakan ni.

Balik lepas akak angkut sebungkus daging korban dari kampung. Terus fikir nak buat dendeng ni. Bukan susah pun, resipi banyak dan pelbagai versi di internet. Yang pasti, daging kena rebus dan goreng. Nak ketuk atau tidak, terpulang. Lepas tu, tak guna bawang putih. Yang lain-lain, lebih kurang dengan bahan RENDANG HITAM saya. Cuma rendang hitam tu, lebih renyah kot sebab nak bergoreng semua bahan dan perap lama sikit. Nak cuba, ada kat SINI.

Fawwaz asyik terjenguk-jenguk masa mak dia masak ni. Yummy la... delicious la.. tak sabar-sabar nak makan. Siap duduk sama-sama kat kerusi tinggi mak dia mengadap kuali..  Dah dapat makan, bertambah-tambah nasi. Makan dah lewat petang, malam dia mintak lagi. Punya sedap kot airtangan mak dia nih. Sejak raya ni, dia dah boleh telan daging. Sebelum ni memang dia tak mau. First time hari tu, makan sup daging mbah mama kat kampung dan sambal telur. Makcik akak yang masak apa pun boleh jadi sedap, esp lauk-pauk. Jadinye, sekarang stewardess umi akan tanya bila waktu makan... "Fawwaz nak fish ke, chicken or meat..?". hehehe...


Sebenarnya dendeng akak ni pulak ialah versi tak penyabor. Merebus pun tak lama, macamlah guna pressure cooker. Goreng pun ala2 je.. Masa nak ketuk, rasa macam dah empuk, so tak berapa mengetuk. Tapi bila dah siap masak, agak kaku daging tu. Kesian juga masa nak suap Fawwaz tu. Cuma akak rasa sedap laa... hehehe! perasan la. Habis sapa lagi nak puji? Mujor Fawwaz pun kata delicious.. :P

Resipi akak ni cuma anggaran je.. Sebab akak pun main campak2, sudu2 je.. sambil menjeling itu daging yang dah berhiris.. Tak pasti pulak beratnya sebelum rebus tu. Ni tulis untuk panduan di masa hadapan  :)


DAGING DENDENG

Bahan2:

500g daging
10 biji bawang merah
1 inci halia
3 sudu cili giling
1 1/2 sudu makan jintan manis (tak penuh)
1 sudu makan jintan putih (tak penuh)
Kicap secukupnya
Garam
Gula - akak guna gula melaka + gula pasir
1 keping asam gelugor (boleh jg guna asam jawa atau tomato)
5 biji bawang merah - untuk dibuat bawang goreng

Cara2:

1) Rebus daging dengan potongan besar sehingga empuk - akak rebus dengan 1 inci halia dan sebatang serai yang diketuk. Toskan daging dan potong nipis dan diketuk sedikit.
2) Kisar jintan manis, jintan putih dan bawang merah. Masukkan sekali cili giling.
3) Perap sebentar hirisan daging dengan bahan kisar - akak cuma ambil masa 1/2 jam
4) Goreng bawang sehingga kekuningan dan ketepikan.
5) Menggunakan minyak bekas gorengan bawang, goreng pula daging yang telah diperap sehingga berwarna perang atau ikut suka nak garing atau tidak.
6) Jika minyak banyak, kurangkan sedikit. Masukkan lebihan bahan kisar kedalam minyak tersebut dan tumis hingga pecah minyak.
7) Masukkan kicap dan sedikit air rebusan daging, garam, gula dan asam.
8) Masukkan daging dan kacau sehingga mesra. Masak sehingga agak kering atau ikut citarasa anda!


November 11, 2011

Lamb Soup (Sup Kambing)



Balance daging kambing haritu... kali ni ada beberapa ketul tulang.  Pagi2 En Abe request nak sup kambing.. oh! nampaknya cek kenalah cari kudapan lain utk lunch huhuu... Sib baik ada kek cekelat!

Tapi memang kambing sini tak hamis... takde bau langsung.  Rasa je ada sikit2 kambing... Yg sup ni langsung takde rasa kambing dan saya berjaya makan 2 ketul kecik.. Satu lagi, dagingnya amat lembut.  Apa punya phobia laa... Bukan apa, dah dari kecik family kita tak makan, maka terbawa2 lah sampai tua..  Pagi tadi juga Kak Yah, jiran kami hantar satu bekas "spring roll" yg amat kemas, sedap dan tak berminyak langsung.  Dia kata dia letak lamb... mmm sedaapppp!!!  Tadi dah dapat tips dari k.yah nak buatnya... Bila free boleh coba dan share kat sini.

Lamb Soup
Rujukan : Tulip @ My Resipi

Bahan2:

Daging kambing (biri2) - anggaran semangkuk
6 ulas bawang merah - tumbuk
2 ulas bawang putih - tumbuk
1 inci halia - ketuk
1/2 inci lengkuas - ketuk
1 batang kayu manis
2 bunga lawang
3 cengkih
2 buah pelaga
1 biji kentang sederhana besar - potong besar
1/2 batang carrot - hiring 1/2 inci
Garam
Lada sulah
Minyak
Daun parsley
Bawang goreng

Cara2:

1)  Rendam dalam mangkuk - kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan cengkih dengan air mendidih.  Biarkan sampai menjadi suam.  Kalau boleh ditutup bekas tu.  Keluarkan herba2 tersebut dan simpan airnya
3)  Tumis bawang merah dan putih hingga naik bau.  Kemudian masukkan pula herba 4 serangkai (1), diikuti halia dan lengkuas.  Kacau-kacau...
4)  Masukkan daging dan kacau rata.  Goreng sebentar hingga daging bertukar menjadi pucat
5)  Masukkan air rendaman herba dan tambah lagi air hingga tenggelam kesemua isi.  Biarkan hingga mendidih
6)  Masukkan kentang dan carrot.  Perasakan garamnya.  Nak letak pak aji pun boleh kalau suka..
7)  Renih selama 1 jam.  Matikan api dan tabur dengan bawang goreng dan daun parsley... atau daun sup/bawang.


November 10, 2011

Stew Kambing (Lamb Stew)

Sebanyak 29 ekor kambing dikorbankan termasuk utk aqiqah pada hari Ahad lepas oleh sebahagian rakyat Malaysia di sini.  Abe kita ikutlah menolong dorang melapah... Saya pulak berpencak di dapur sendiri untuk makan2 esoknya (pagi tu dah 'menari' utk potluck selepas solat di rumah Malaysia).  Balik2 hubby bawa daging yang banyak dan elok belaka... Sebahagian kami bagi kat cleaners bangla tu sebab takkan terhabis kalau simpan.  Saya tak makan kambing, tapi setakat merasa sikit2 dah boleh dah.. slowly lah kan..

Demi tengok je daging yg cantik dan fresh serta tidak berbau tu (mungkin sebab biri2), saya dah plan nak buat stew.  Dah lama teringin nak buat..

Jadi, petang ni dapatlah merealisasikannya... Adalah jeling2 resipi orang, antaranya blog 1001 resipi.. tapi saya pulak buat dengan apa yg ada je.. Hubby suka.. dagingnya lembut sekali. Kami makan dengan roti je.  Tapi saya cuma makan seketul daging yg kecil dan sayur sikit2... heheh

Bahan2:

250g daging 'lamb' - potong kecil/dadu
1 labu bawang besar - potong dadu
2 ulas bawang putih - ketuk dan hiris halus
1 biji kentang - dadu
1 biji carrot - potonh 1/2 inci
1 biji tomato - dadu
1/2 tin button mushroom - dah siap dihiris nipis
1/2 sk oregano
1 helai daun bay kering
1 mangkuk stok ayam (saya campurkan pati ayam dengan air sahaja)
1 sudu besar sos tiram
1 sudu paste tomato
1 sk serbuk lada hitam
Garam secukup rasa
1 sudu tepung jagung - bancuh dengan 2 sudu air
Minyak zaitun

Cara2:

1)  Lumurkan daging dengan sedikit garam dan lada sulah
2)  Panaskan dalam 2 sudu besar minyak zaitun di dalam periuk.  Goreng daging sebentar.  Kacau2 sehingga warnanya bertukar pucat atau keperangan.  Angkat atau asingkan.
3)  Dalam periuk yg sama, panaskan dalam 2 sudu minyak zaitun.  Masukkan bawang besar dan tumis hingga layu
4)  Masukkan daging, sos tiram, oregano, daun bay, tomato, tomato paste dan 1/3 mangkuk stok ayam.  Biarkan sampai mendidih dan tutup periuk.  Renih selama 30 minit dengan api kecil
5)  Selepas tu, masukkan kentang, carrot dan cendawan.  Masukkan kesemua stok ayam dan renih sehingga kentang dan carrot lembut dan kuah menjadi agak pekat.  Perasakan dengan garam dan lada hitam
6)  Masukkan bancuhan tepung jagung, kacau seketika dan angkat.  Makan panas2..

January 26, 2011

Baked Lamb Chop

Hidangan dinner malam tadi... Seperti biasa saya hanya menyediakan sahaja, makan setakat 2 hiris kecil, lepas tu menyerah... I dun like it!  Tapi pak hubby ku memang gemar ini lamb... Mujur buat 4 ketoi je, tak le overload sesangat... Penyediaan yg paling simple...  Ada orang memang suka mengekalkan rasa daging tu sedikit... tapi saya ni sebenarnya guna apa je benda yg terlintas di fikiran dan ada dalam peti ajaib ku itu..



Bahan2:

4 keping lamb chop
3 sudu besar sos Worcestershire
1 biji telur
Breadcrumbs
Minyak zaitun

Cara2:

1)  Perap lamb chop dengan sos Worcestershire semalaman
2)  Pukul telur dan celupkan lamb ke dalamnya.  Lepas itu salutkan dengan breadcrumbs
3)  Susun lamb chops ke atas dulang pembakar, tuang sedikit minyak zaitun ke atasnya dan bakar dengan suhu 200 celcius selama 40 minit iaitu 20 minit setiap belah (balik2kan)...



Dagingnya yg sangat lembut..


SIDE DISHES:

Mashed Potato - kentang + butter + fresh milk + garam + lada sulah


 Ala2 Greek Salad je ni... campuran mixed vege, lettuce, tomato, timun, ulam arab (x tau nama..), feta cheese, lemon juice & extra virgin olive oil.  Tak letak pepper/lada dan onion pun...


Sehingga kini tak tau apa nama herbs arab ni... tapi selalu ada dalam hidangan dorang



May 16, 2010

Marinated Grilled Lamb Chop


Kebelakangan ni mencuba masakan ikut menu suami.. Tengahari semalam kena buat lamb chop, makanan yg aku tak makan. Berusaha cari resipi kat internet bahan marinade dan sos. Ada yg simple sangat, takpun bahan takde di dapurku, dll. Sudahnya aku reka2 je ikut apa yg ada.. biasalah statement nih! Tengok hubby makan selera, OK la tuu... hehe

Bahan2 :-
2-3 ketul lamb chop (yg dah siap potong kat supermarket tu..)
Side dishes - mashed potato atau chips, tomato, broccoli, dll ikut citarasa

Bhn marinade:
2 ulas bawang putih
1 cm halia
1/2 sk ketumbar
2-3 sudu corn oil (sepatutnya olive oil)
Sedikit oregano
2 sudu lemon juice
Garam secukup rasa

Cara2:

1) Potong halus atau tumbuk bawang putih, halia dan ketumbar.
2) Campur dengan bahan2 lain dan lumur pada daging. Perap semalaman atau sekurang2nya 3-4 jam.
3) Bakar dalam oven dengan suhu 200C selama 30 min.

Sos:


1/4 labu bawang besar - hiris dadu
1 sudu rata tepung
1 sudu besar butter atau marjerin
Sedikit serbuk buah pala - tumbuk buah pala (nutmeg) dan guna dlm 2 cubit
Lada sulah
Susu segar secukupnya
Sedikit pati ayam
Sedikit garam

Cara2:
1) Panaskan majerin dan tumis bawang hingga layu
2) Masukkan tepung dan kacau hingga keperangan
3) Masukkan susu segar dan lain2 bahan hingga mendidih dan angkat.

May 7, 2010

Steak


Hubby's favourite but not me... Selama ni tak pernah order steak tp ada sesekali merasa dan tak perasan rasa dia melainkan rasa daging. Upon request, buat dgn apa yg ada di dapur je...

Bahan2 :

2 keping daging - sirloin, tenderloin atau apa je yg berdaging.. (haha)
2 ulas bawang putih - cincang halus
1 cm halia - cincang halus
3 sudu Worcestershire sauce
1 sudu soy sauce
1 sudu kicap manis
2 sudu corn oil (sepatutnya olive oil)
Sedikit oregano
1 sudu teh black pepper
1/2 sudu gula (sepatutnya 1 sudu madu)
Sedikit garam (kalau nak masin sikit)

Cara2:

Perap semua bahan semalaman. Grill dalam oven selama 20 - 30 min dgn kepanasan 200-230 atau guna stove. Hidang dgn black pepper sauce.

p/s: dalam gambar tu guna sos chicken chop kelmarin sbb ada sedikit bau kemalasan... :D


February 11, 2010

Daging Black Pepper

Lauk malam tadi...



Bahan2 (utk 2 orang) :

Daging - yg dipotong kecil/halus
1/2 labu bawang merah - hiris
1-2 ulas bawang putih - ketuk & hiris
1 1/2 cm halia - potong nipis
Lada hitam - tumbuk
Jintan putih & manis (optional) - tumbuk bersama lada hitam
Kicap
Sos tiram
Sedikit gula (kalau guna kicap biasa)
Sedikit garam (kalau suka masin)
Hiasan : Tomato, daun bawang, cili hijau / capsicum

Cara2:

(1) Tumis bawang putih sehingga naik bau.
(2) Masukkan daging dan lada hitam. Kacau dan biarkan sampai daging empuk. Tambah air sedikit jika perlu.
(3) Masukkan halia, sos tiram, kicap, cili, tomato, dll... kacau dan angkat.

October 24, 2008

Daging Rendang Hitam


Resipi yang kuperolehi dari kakak ku dan selalu menjadi hidangan Hari Raya.

Bahan2:
1 1/2 kg daging
600g bawang kecil - dihiris dan goreng
1 labu bawang putih - hiris dan goreng
30 biji cili kering - digoreng
2 biji bunga lawang
1 batang kayu manis
1 sudu jintan manis - disangan
1 sudu jintan putih - sangan
3 biji buah pelaga
1 1/2 inci halia
Kerisik
Kicap Manis
Garam & gula
Minyak

Cara2:
1. Rebus daging sehingga empuk
2. Tumbuk/kisar bawang yang telah digoreng bersama cili goreng, jintan manis dan jintan putih.
3. Perap daging bersama bahan kisar, garam, gula dan kicap selama sekurang2nya 1 jam.
4. Tumis halia yang telah ditumbuk bersama kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga.
5. Masukkan daging dan kerisik. Campurkan sedikit air rebusan daging agar sedikit berkuah.
6. Setelah sebati dan cukup rasanya, boleh diangkat.
7. Nota: Tidak perlu memasak dengan lama memandangkan daging dan bahan perap telah sedia masak.