July 31, 2010

Yum Yum..


My fav Mrs Vanellis pasta with xtra cheese... sepinggan cukup utk makan bertiga nih (fawwaz yg ke-3 tu)! Maklum den ni selera lebih, tapi perut kocik je...


Nasi goreng ala arwah ibu mertua (kata hubby le)... perencah dan cara memasak macam biasa je, cuma tabur cili kering tumbuk utk kasi merah.. dlm gambar tak nampak lak merah tu..

July 29, 2010

Sheperd's Pie



Ni Sheperd's Pie versi aku yang tak berapa ada bahan kat dapur tu. Maklumla, hari ni Khamis iaitu hari terakhir stok dapur. Hari Jumaat barulah hari untuk memenuhkan peti ais dan segala macam benda kat dapur. Selalu hari Khamis memang aku tak masak nasi. Cuma ayam grill dan kentang serta sayuran. Dah boring makan fries, baked potato dan mashed potato, maka konon2 buat Sheperd's pie laa... Tapi ada org kata pie ni patut guna lamb.. kalau beef, namanya "Cottage Pie". Hentahlaa.. akak bukan tau sgt, ikut2 jee.. huhu


Bahan2 (utk 2 org) :

1 1/2 cwn minced meat (beef)
1 cwn carot - potong dadu kecil2 (tadi yg ada cuma baby carrot...)
1 labu bawang merah (sederhana besar) - hiris dadu mcm nak buat kuah spaghetti tu..
3/4 biji tomato - potong dadu
3/4 kiub daging - buat stok dgn mencampurkan sedikit air
Serbuk Oregano
1 camt sos Worcestershire
1 camt tepung jagung
Sedikit gula (opt - lidah jawa aku ni mmg suka letak gula dlm makanan)
Sedikit minyak zaitun untuk menumis (kalau takde, guna je butter)
2 biji kentang sederhana besar
2 ulas bawang putih
2 sudu mentega
1/2 cawan fresh milk
Sedikit lada sulah
Sedikit garam
Parmesan cheese (tapi yg ada kt fridge ku hanyalah kepingan cheddar cheese, bolehlahh cincai lorr..)

Cara2 :

Utk base:
1) Panaskan minyak dan masukkan bawang besar yg dihiris. Tumis sehingga kekuningan.
2) Masukkan daging dan sos Worchester, kacau seketika hingga hilang warna kemerah2annya.
3) Masukkan karot diikuti tomato, air stok, garam, gula, serbuk lada hitam dan oregano. Kacau dalam 10 minit.
4) Akhir sekali taburkan tepung jagung untuk memekatkan. Rasakan garam/gulanya dan angkat bila sudah kering. Ketepikan...

Lapisan atas :
1) Rebus kentang dengan bawang putih (ni tiru gaya mimi) sampai empuk. Letak garam sikit.
2) Bila dah lembut toskan dan lenyek sampai strukturnya halus.
3) Masukkan mentega, fresh milk, garam secukup rasa dan lada sulah. Teruskan lenyek sampai sebati semuanya.

Proses seterusnya:
1) Masukkan bahan "base" dalam bekas pembakar. Rata/padatkan.
2) Letakkan kepingan keju atas base
3) Masukkan pula kentang lenyek, ratakan dulu kemudian di cucuk2 atau garis dengan garpu
4) Letakkan lagi keju atau taburan mozarella ke atas kentang tu. Kalau takut muak, tak payah letak pun takpe..
5) Bakar dalam oven dengan kepanasan 200C selama 15-20 minit atau sampai perang.

Sebelum bakar..

July 28, 2010

Sambal Kicap Tumis


Aku sebenarnya baru lepas buat karipap untuk dijual esok pagi. Dalam mengelim kulit karipap, tiba2 terbayang sambal ni. Dah lama aku tak buat, walau baru 2 hari lepas aku masak sup ayam (patutnya pasangan dia..). Sambal kicap ni juga mengingatkan aku pada sahabatku Mimie masa di ITM lebih 20 thn yg lepas. Dia panggil "sambal racun" sebab masa baru buat tu, ya ampun pedasnya.. tapi dah masuk sehari-dua dah kurang pedas, lagi manis adaa... Tapi inilah bekalan dari kampung yg selalu aku bawa balik ke kolej untuk dipadankan dengan Maggi mee.. hehe

Bahan2 :

Segenggam cili padi
10 ulas bawang merah - hiris dan goreng garing
2 ulas bawang putih - hiris dan goreng
Sedikit gula
Kicap manis secukupnya
Sedikit air asam/cuka/limau - kalau suka
Sedikit minyak masak

Cara2 :

1) Bersihkan cili padi dan tumbuk/kisar halus
2) Tumbuk halus bawang merah dan putih berasingan dari cili
3) Panaskan sedikit minyak dan tumis cili padi sehingga sedikit garing (awas! anda akan sakit hidung atau terbersin sedikit.. hihi)
4) Tuangkan kicap dan gula. Kacau sebentar.
5) Akhir sekali masukkan bawang yg telah ditumbuk. Kacau dan angkat.


July 27, 2010

Carrot Juice


Minggu ni karot di Central Market sangat murah. Dalam satu bekas harganya dalam 500 fils (bersamaan kurang dari RM5). Tak timbang pula berapa kilo, tapi tak kurang 10 batang laa... Apalagi, menu jus sepanjang minggu ini adalah "carrot juice".

Bahan2 :

Karot
Air
Susu cair
Gula
Plain yogurt (tak letak pun takpe.. ni sbb ada dalam fridge ku)

Cara2 :

1) Blend karot dan gula bersama air, kemudian tapis.
2) Masukkan pula susu dan yogurt ke dalam air. Kacau hingga sebati semua (mcm kuih lak..hehe).

July 26, 2010

Kuih Sagu



Dekat2 nak puasa ni ingat nak fikir menu lain untuk juadah berbuka nanti. Kalau sekarang setiap pagi letak karipap dan vadai, juga donut, kasturi, apam dan cekodok pisang, ingat nanti nak letak kuih2 manis dan tak bergoreng (melainkan masih ada permintaan) di petang hari. Dah tentu kuih2 yg agak lembik atau lembut. So, hari ni test buat kuih sagu. Tak tau nama sebenarnya apa tapi arwah nenek dulu suka panggil "janda beruban" huhuuu... jgn marah aa. Arwah tu dulu kekadang memang suka gurau dibalik sifat 'reserve'nya.. Tetiba aku jadi rindu pula................ :(

KUIH SAGU

Bahan2:

1 cawan sagu - basuh dan tos
3 cawan air
1/2 cawan gula
Sedikit pewarna merah
Sedikit air ros - atau boleh guna sirap ros terus 2 in 1
Kelapa parut
Sedikit garam - untuk campuran kelapa

Pewarna dan air ros..

Cara2 :

1) Didihkan air kemudian masukkan pewarna dan air ros juga sagu. Kacau.
2) Masukkan gula dan kacau hingga hampir likat. Masa ni biji sagu masih ada yg kelihatan putih



3) Keluarkan dan masukkan dalam loyang. Kukus sampai masak dalam 20-30 minit atau tiada sagu yg masih putih. (Cara ni aku tgk dalam satu resipi kat MYR supaya hasilnya cantik).
4) Keluarkan dari kukusan dan sejukkan.

> Selepas proses kukus...

5) Potong dah gaul dgn kelapa yg dicampur sedikit garam. Sebaiknya kelapa pun dikukus sebentar supaya lambat basi.

p/s: kalau tengok kelapa parut kat atas tu, ya ampun kasar banget.. apa nak buat, dapat beli yg fresh tu pun dah kita bagus sangat.. imported katakan.. :D:D


July 22, 2010

Macaroni Goreng Simple


Antara makanan kegemaran Fawwaz buat masakini. Bukan apa, anak bujangku ini memang suka tukar2 selera. Tapi memang dia agak suka pasta dan antara ranking tertinggi Spaghetti Creamy Carbonara (Pizza Hut), Macaroni Cheese (Kenny Rogers) dan baru2 ni sejenis masakan pasta yg sedap dan byk cheese di Bahrain (tak ingat namanya..). Yg aku buat ni versi cincai lorrr...

Bahan2 (cukup utk kami berdua) :

1 mangkuk Macaroni (atau apa jua jenis pasta)
Daging/ayam cincang secukupnya
1/2 Bawang besar
1 ulas bawang putih
1 mangkuk mix vegetable
Sedikit tomato paste atau puree
Sos chili
Sos tomato
Garam
Gula
Minyak zaitun (atau apa2 pun..)

Cara2:

1) Makaroni direbus sehingga empuk dan toskan
2) Bawang besar dan putih ditumbuk kasar (boleh juga kalau nak hiris je)
3) Tumis bahan (2) hingga naik bau. Masukkan daging dan kacau hingga empuk (boleh tambah air sikit)
4) Masukkan tomato paste, tomato sos, cili sos, garam dan gula. Kacau seketika.
5) Masukkan sayur campur diikuti makaroni dah kacau hingga sebati rasanya.
6) Kalau suka, boleh tabur dengan sedikit keju atau bawang goreng.



July 21, 2010

Apam Pisang

Sepatutnya aku nak buat cekodok pisang untuk jual pagi Rabu ni. Cekodok pisang dorang suka walau kekadang aku buat terlebih tepung huhuuu... Tapi macam takde mood la pula, so aku cari resipi apam pisang yg mudah untuk menyelesaikan pisang yg sudah lembik itu. Macam biasalah, banyak guru2 masak percuma kat MYR tu. Sekarang sapa nak cuba, pasti boleh... senang dan gebu! TQ HaSue.... credit for you. Tapi mcm biasa, chek ubah sikit2 ikut keadaan..

Bahan2:

4 biji pisang (aku kat sini pakai pisang dr Filipina yg agak panjang. Boleh juga guna pisang berangan atau emas anggaran isi sebanyak 3/4 blender).
180g gula - boleh juga kurangkan sikit dalam 160g kalau tak suka manis
2 biji telur
100ml minyak masak (aku guna minyak jagung, kurang kolestrol.. :D)
200g tepung gandum
1 sudu rata soda bicarbonate
Sedikit esen vanila (opt)

Cara2:

1) Blend pisang (tanpa air) sampai halus.
2) Masukkan minyak, telur dan gula. Blend lagi dan tuangkan dalam bekas lain (mangkuk atau besen)
3) Ayakkan tepung + soda ke dalam bekas tersebut.
4) Gaul atau kacau adunan dengan senduk atau whisk sampai sebati dan takde ketul2 tepung.
5) Kukus dalam loyang atau bekas2 kecil selama 15-20 minit. Lapikkan penutup kukusan dengan kain nipis.


p/s: adunan ni boleh juga dibakar utk dijadikan kek pisang pula... cubalah!



July 20, 2010

Biskut Makmur


Mengambil aura Ramadhan Kareem yg bakal tiba dan pastinya menyusul Hari Raya... Pagi ni aku cuba resipi Citarasawan, seorang yg sangat rajin memasak dan meng'upload' gambar dan resipi dalam blog yg juga tokeh kuih... Aku buat setengah adunan je. Lepas ni boleh buat satu balang sebelum raya...

Kalau sesapa nak cuba, ni dia link nya : Kuih Makmur Citarasawan

p/s : tapi kalau perasan, makmur ku itu ada percikan color hijo.. huhuhu..

July 18, 2010

Sambal Taun


Lagi satu makanan kebanggaan orang-orang Jawa, Sambel Taun. Sambal ni seumpama masak lemak yang seharusnya pedas dan pekat santannya. Mmmm... orang2 jawa ni memang suka kumpul kolestrol kan.. heheh!! Tapi dulu2 takde la pulak dengar dorang2 tu kena darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya. Pastinya pemakanan ni walau tinggi mana tahap kolestrolnya kena sepadan dengan aktiviti harian juga corak kehidupan kita yg lain termasuk makanan2 lain. Setuju tak? Lagi kisah sambal taun yg juga kegemaran keluargaku ni, selalunya bahan utama adalah kerang yg direbus dahulu dan ambil isinya. Tapi ramai juga yg suka daging, ayam (terutama bhg tulang), tempe dan macam2 ikut citarasa masing2. Nak sedap makan, kena perangat (panaskan) berulang2 dahulu atau 'overnite', baru rasa sebenar keluar... dan pedas berasap2!!!

Bahan2:


Daging, ayam yg bertulang atau isi kerang (ni sebenarnya fav aku yg tiada di Bahrain)
Lengkuas
Segenggam cili padi
Bawang Merah
Bawang putih
Asam keping
Garam
Santan
Sedikit minyak untuk menumis

Cara2:

1) Bawang dimayang halus dan lengkuas dipotong nipis. Cili pula hanya dibuang tangkai
2) Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang, lengkuas dan cili hingga layu. Kalau taknak tumis, boleh juga rebus terus dgn sedikit air dan masukkan bahan (3).
3) Masukkan daging atau kerang, kacau-kacau sekejap sampai air yg keluar agak kering. Tapi kalau daging belum direbus, kenalah tambah air sikit sampai lembut.
4) Akhir sekali masukkan santan. Rasakan garamnya. Boleh juga tambah perasa atau sedikit gula, ikut citarasa.
5) Untuk masakan awal kalau boleh jangan pecah minyak, melainkan bila dan 2-3 kali panaskan..


> versi dah nak kering

July 14, 2010

Sambal Santan


Kalau sebut dalam bahasa jawa jadi "sambel santen".. Beberapa hari lepas masa terbaca perkataan 'pucuk ubi' dkt FB aku terus teringat sambal santan ni. Sambal ni makanan kegemaran keluargaku dari zaman kecik2 lagi. Sebelum ni tak pernah buat sendiri melainkan arwah nenek dan makcik ku yg buat. Aku setakat tengok dan makan je.

Gandingan paling sesuai ialah ulam2 yg direbus macam pucuk ubi dan meranti.. Makan pula dengan ikan kembung goreng dan nasi panas. Santan pula kena pekat, banyak kolestrol sekali-sekala takpe! Disebabkan dah teringin dan di Bahrain takde pucuk2 tu, aku tukar kepada sawi, kobis, terung, brokoli dan karot. Kasi warna-warni.. Sambal ni makin lama makin sedap (overnite)...

Bahan2:

1 mangkuk santan pekat
1/2 mangkuk santan cair
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
Segenggam (agak2) udang kering - nak pakai bilis pun boleh
6-10 biji cili padi - ikut tahap kepedasan cili. Kat Bahrain ni cilinya agak pedas...
Garam secukup rasa
2 keping asam keping
Gula - kalau nak letak

Cara2:

1) Tumbuk bawang, udang dan cili sampai lumat


2) Masukkan dalam santan cair dan rebus sampai layu


3) Apabila santan cair (2) dah hampir kering, masukkan santan pekat. Biarkan seketika sampai menggelegak. Jangan sampai pecah minyak.. Rasakan masin dan asamnya.. biar secukup rasa.

> yg ni sebenarnya kurang pekat... jimat santan, kurangkan kolestrol :P
Takde pucuk2, sayur apa2 yg ada pun boleh...



July 1, 2010

Lemper a.k.a Sushi Jawa


Sushi jawa tu nama saja2 letak... makcik aku kat Ampang kata kawan2 dia (non-jawa) panggil kuih ni lagu tu. Lemper ni menjadi favourite di kalangan keluarga dan orang2 kampung ku terutama bila ada kenduri. Membuatnya agak remeh tapi yg penting intinya sedap...

Bahan2 utama:

Pulut
Santan yang dimasukkan sedikit garam
Daun pisang

Bahan2 inti:

Kelapa parut - sangan sampai garing dan berwarna perang tua
Bilis atau udang kering (letak 2-2 pun boleh) - goreng
Bawang merah - hiris dan goreng garing
Sedikit bawang putih - hiris dan goreng sekali dgn bawang merah
Serbuk cili - ikut kepedasan yg diingini (boleh juga guna serbuk lada sulah - resipi original)
Gula dan garam secukup rasa (gula kena lebih)
Serbuk perasa (optional)

Cara2 I:

(1) Kukus pulut separuh masak dan keluarkan bekas dari pengukus
(2) Sendukkan sedikit-sedikit santan ke atas pulut dan gaul/sebatikan (mcm buat pulut kuning).
(3) Masukkan semula ke dalam pengukus dan kukus sampai masak. Keluarkan pulut dari situ.


Cara II - inti:


(1) Tumbuk/kisar bahan2 yg digoreng seperti bawang dan udang kering/bilis. Secara berasingan tumbuk juga kelapa hingga halus (jgn pulak sampai jadi kerisik!)
(2) Setelah itu, gaul semua bahan dalam bekas iaitu kelapa, bawang, bilis, cili kering, garam halus dan gula hingga sebati dan secukup rasa.
(3) Sebaiknya buat inti lebih awal (dlm sehari lebih awal) supaya rasanya lebih sebati


Cara2 III - bungkus & kukus

(1) Kepal2 pulut (dalam sekepal - atau sebesar sushi), leperkan dan letakkan sesudu inti ke atasnya. Tutup inti... (macam buat koci)
(2) Bungkus dengan daun pisang seperti sampan. Daun pisang tu kena ada 2 iaitu kemban utk menyaluti pulut yg dikepal dan daun yg lebih lebar utk membungkus seperti sampan.  Sematkan dengan lidi atau stapler (awas, jgn sampai tertelan!)
(3) Sesudah dibungkus, kukus selama lebih kurang 20 minit atau sampai daun layu (hijau kecoklatan)


 bungkus daun nilah namanya kemban.. :)


Inilah interior kuih kegemaran keluarga selepas dikukus semula..

Nota: Hanya yg pernah makan dapat membayangkan rupa dan rasanya hehehe...

Related Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...