October 24, 2017

Apam Susu Warna Warni yang Gebu Sangat

Hari ni kita cerita pasal APAM SUSU pulak..


Akak ni kan selalu ketinggalan keretapi... Orang naik ETS, akak naik komuter berenti kat setiap stesen..her herrr. Orang dah makan tahun buat, akak baru nak mencoba.. Pasal dulu akak tak kisah pun pasal apam tular ni walau hari2 lalu lalang kat wall. Memang tak minat nak membuat, apalagi makan.

Alih-alih akak teringin pulak. Tengok bahan pun senang. Kebetulan telur yang kadang terhabis, ada banyak kat peti sejuk tu. Tak perlu nak ditukar ke suhu bilik sebab memang nak guna hat sejuk.

Akak ambil resipi ni dari sumber yang biasa tu. Page yang mana ahli2 sangat pemurah kongsikan resipi walau depa buat jual. Masing-masing nak pahala kan.. Moga2 murah rezeki depa tu. Akak ni dah malas nak tulis2 dan share2. Harap skodeng jer hari2 dan jadi tukang komen. Dulu2 ada juga post.. Tapi kadang macam halimunan tulis, takdak sapa tertarik kot..hahahaha. So, baiklah akak diam2 baca jer..

Jom cek resipi. Yang akak guna ni dia lain sikit dari yang lain tu.. Lain tang mana, angpa pi kaji seniri lah nohhh...


 APAM SUSU GEBU WARNA WARNI
Resipi asal : Aminah Ahmad (MAHN)

Bahan2:

1 3/4 cawan tepung gandum
5 biji telur sejuk (dr dalam peti sejuk)
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu besar ovalette
1 cawan gula aising
1 cawan susu pekat

Cara2:

1) Mula2 didihkan periuk pengukus sebelum buat adunan.
2) Satukan telur, esen, ovalette dan gula. Putar hingga kembang. Akak guna speed maximum sehingga menjadi warna pucat.
3) Masukkan susu pekat dan putar sekejap.
4) Akhir sekali masukkan tepung gandum sedikit2 dan putar sehingga sebati
5) Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan letak pewarna kesukaan. Letak sedikit saja (soft color) sebab warna akan bertuka menjadi terang bila dah siap kukus.
6) Lenser loyang/acuan dengan mentega/majerin/minyak, baru tuang adunan berselang seli
7) Kukus selama 45 minit atau sehingga masak (ikut saiz loyang).
8) Untuk adunan ni, saya guna 2 acuan iaitu plastik dan silikon bentuk ring. Kukus 2 tingkat. Balut penutup dengan kain dan untuk kukusan belah bawah saya tutupkan acuannya dengan plastik.

 Seronok tengok warna dia... apalagi bila makan menggebusss giteww..nom nom!!


October 23, 2017

Kari Ikan Daun Kesom

Assalamualaikum..

Hari ni akak nak cerita pasal sejenis kari atau ada yang panggil gulai. Memang akak orang Jawa ni panggil GULAI utk apa2 jenis kari. Dan akak dapati, banyak terms kami sama dengan orang Utara sini. Contohnya selain gulai, roti=biskut, market=pasar, kupang=sen, hehehh.. itu jelah kot. Ke keluarga kami je cakap macam tu. Takdelah pulak suku sakat kami dulu orang Utara...:D

Kali ni akak masak kari ikan yang diletak daun kesum dan bunga kantan. Bukan daun kari macam selalu tu. Ilmu baru bagi akak hasil skodeng di FB (MAHN). Dalam duk ramai kecam posting sorang brader tu, banyak pulak komen menyokong. Sebab bukan perkara pelik katanya. Ramai je makcik2 buat cara gini, terutama jika ikan jenis berbau atau darat macam sembilang, puyu dll. Akak jer tak tau. Tapi akak bukan pengecam macam sesetengah orang. Dari duk perlekeh, baik la coba ya... Memang sedap punnn. Tak rasa asam pedas punnn...

Buktinya, abe kita duk perabih sampai hirup kuah. Fawwaz pun makan selera je. Walau ikan yang kudamba iaitu ikan mayong masih kat pasor. Yang ada cuma ikan tongkol jenis sirip panjang. Ikan kembung pulak tak cukup korum, bimbang berebut kahkahkah!! Aksesori pulak cuma ada tomato..hat lain tak beli pulak. Tengok depa masak kari, meriah ja.. terapun-apung bendinya. Versi akak OK laa... kurang berminyak tapi pekat.. hmmm kesedapan banget. Wangi kalau bubuh dedaun sesuai laksa atau asam pedas tuh! Kena dengan selera Melayu.. Tak caya, cobalah... macam akakk...😉


KARI IKAN UTARA

Bahan2:

1 ekor ikan jenis besar (atau ikan kembung/sembilang/mayong dll ikut selera dan kuantiti berpatutan)
6-10 ulas bawang merah (separuh tumbuk dan separuh hiris) *
4 ulas bawang putih (2 tumbuk, 2 hiris) *
1 bungkus rempah kari ikan (sy guna Cap O) *
1 sudu besar cili giling (kalau nak merah guna serbuk cili) *
1 sudu kecil halba
Minyak untuk menumis
Santan RM2
Air secukupnya
1 batang bunga kantan 
2 tangkai daun kesum
1 keping asam gelugur
1 biji tomato
Kacang bendir
Garam secukup rasa
Jika suka, letak gula sedikit dalam sejemput.

Cara2:

1) * Bawang tumbuk, rempah kari dan serbuk cili dijadikan paste dengan sedikit air.
2) Tumis halba dan bawang merah & putih yang dihiris sehingga naik bau dan keperangan.
3) Masukkan paste kari dan tumis sehingga pecah minyak.
4) Masukkan santan dan kacau sehingga mendidih.
5) Masukkan ikan dan asam, dan biarkan merenih seketika, baru masukkan segala aksesori termasuk bunga kantan dan daun kesum. Perasakan
6) Matikan api bila kari dah cukup mesra.

Nota:
i) Cara akak, lebih suka jika ikan dimasukkan sebelum santan dan digolek2 sekejap dengan perencah sampai agak pucat. Kemudian baru masuk santan dan biar menggelegak. Pastikan tak pecah santan sebelum waktunya.
ii) Bila dah menggelegak, kecilkan api dan biar gulai merenih seketika dalam 15-20 minit atau kuah menjadi pekat. Baru kawwww... Tapi kena tengok ikan jenis macamana ye!
iii) Bahan dan cara masak tu ikutlah masing2 ye.. cuma tambah daun dan bunga tu je.

Pekat dan kurang berminyak. Lain orang lain buatnya...Ni kalau cecah roti, pehhh
Akak lawankan dengan sambal bacang dan terung bakar..
Sambal tempe penyedap makan sepanjang masa


October 8, 2017

Bubur Asyura Utara Lagi

Menjelang penghujung malam ni terasa penuh betul perut ku ini..  Manakan tidak, masa temankan Fawwaz tidur tadi, perut duk kruk kruk berbunyi2. Lapar sungguh bunyinya walau tengahari tadi lepas makan nasi lemak yang kedua (pertama masa sarapan) akak bercita2 tak mau makan nasi dah. Rupanya tak tahan daa.. Setakat sekepin roti bakar tak mampu dibuat alas perut. Jadinya, lepas Fawwaz tidur pukul 9 lebih, akak pun ke dapur mencari nasi. Ala sesenduk kecik ja.. ada lauk pun ikan tongkol kicap yg tinggal belah ekor dan separuh bahagian saja. Makanlah daku dengan penuh kesyukuran. Terus hilang bunyi perut..ngeh ngeh!!

Dah selesai cuci pinggan2 dan cawan2 di sink, buka pulak peti sejuk. Nampak pula bekas buboq sora yang tinggal suku isinya tu. Kemarin dulu adik ipaq hantaq mai tetengahari. Dah masuk hari ke3 tapi masih belum habis. Ku makan dengan berhemah, sayang nak habiskan cepat kot..hahahaa! Padahal sebenarnya kalau ikut nafsu, sekali makan boleh habis tu. Cuma akak ni jenis macam tu la kot.. Makan untuk merasa, simpan, keluarkan makan lagi, simpan.. sampailah ulang2 cycle nya dan abis.

Maka hari ini akak nak share resipi bubur asyura versi periuk besaq yang akak simpan dah setahun. Dulu letak kat FB je. Agaknya masa tu akak tgh merudum mood ber'blog'. So, hari ni akak transfer lah ke sini. Ini catitan masa akak dan adik beradik ipar duai sama2 mengacau buboq di rumah ni. Akak host jer, tolong sikit2 je sebab otai kan ado.. Kalau nak versi sikit, untuk makan sendiri dan bagi jiran sebelah jer, boleh check kat SINI.



RESIPI BUBUR ASYURA UTARA 
(Satu periuk besaq jenis tapak gajah)

Bahan2:

2 kg santan pekat
1 kg tepung beras
500g sagu - cuci dan tos
1 kg kacang hijau - rebus
500g kacang kuda - rebus
500g kacang merah (kidney beans) - rebus
1 1/2 kg keledek oren - dadu dan rebus
1 kg kacang tanah - goreng tanpa minyak dan buang kulit
2 sikat pisang awak - potong nipis/dadu
6 tongkol jagung - leraikan isi
1 kg gula pasir
500g gula merah - buat sirap dulu
1 tin susu/creamer manis
Garam secukup rasa (dalam 1 sb+)
Air secukupnya (dlm 2-3 liter, jangan banyak sangat, untuk cairkan santan pekat tu ja)

Cara2:

1) Campurkan tepung beras dan santan serta air dan kacau sampai mesra tak berketul. Masak dengan api perlahan sambil sentiasa dikacau sampai nampak pekat dan berkilat.
2) Masukkan sagu dan masak/kacau terus sehingga sagu nampak cantik sekata dan sebati dengan tepung
3) Masukkan kacang hijau dahulu, diikuti gula pasir, gula merah, susu, garam,  jagung... kacau terus, jangan berhenti. Masa ni ia akan cair sikit sebab gula dah cair
4) Masukkan pisang dan keledek.. kacau hingga pekat. Boleh besarkan sikit api kalau nak cepat..;)
5) Akhir sekali masukkan kacang merah (tujuannya supaya kacang tu masih berbentuk cantik dan tak hancur je..) dan kacang tanah (supaya kekal rangup)
6) Kacau sekejap hingga mesra, matikan api dan masuklah ke dalam bekas. Dah sejuk, baru boleh potong
7) Anggaran memasak 2-4 jam ikut saiz. Ambil sedikit bubur, letak atas piring dan terbalikkan. kalau kekal melekat, bermakna masak la tu..

Nota: Kalau tak mau warna kegelapan, abaikan GULA MERAH, dan tambah sikit gula pasiaq

Kacau sentiasa.. Nak lagi sedap, guna pelepah kelapa tu haa... ehehh
Letak kat daun part kerak2 tu... pastu nikmatinya ketika hangat2 suam


October 4, 2017

Kuih Kasui Pandan


Demam kasui nampak gayanya..

Bila dah semakin berusia dan gigi dah mula gugur2 nih, kuih lembik2 la yg kita cari. Tapi macam akak, memang sejak zaman dahulu kala suka makan kuih2 dan benda yg lembut. Terutama yang dikukus. Cuma nak membuat tu kena ada angin sepoi sepoi tak pun puting beliung terus masuk menerjah ke dalam otak hehe.

Selepas berjaya buat kasui haritu, tekak meronta2 pula nak yang versi pandan lagi tergedik2. Since abe ada, maka terealisasilah misi mencuba. Haritu buat guna cawan standard tu (250ml), dan banyak kejadiannya. Sah2 tak habis walau dah difaraidh merata adik beradik. Kali ni akak guna cawan beras berukuran 180ml. Kurang sikit la tapi tetap tak habis lagi. Dah beberapa hari, tapi ada lagi elok kat dalam fridge tu. Bila lepas makan nasi, akak potongla sikit buat pemanis mulut.

Memang senang buat kasui ni. Adjust2 apa yang patut untuk dapatkan taste kita. Lepas tu takda santan atau telur, tu yang tahan sikit. Untuk buat lembut sikit, akak kurangkan tepung gandum sikit dan tambahkan tepung ubii dengan sukatan sama. Akak pula tak suka manis sangat. So, memang kenalah resipi ni. Jom check!


KASUI PANDAN SEDAP

Bahan2:

2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung ubi
1 1/2 cawan gula pasir
5-6 helai pandan - potong2 *
5 cawan air *
3/4 sudu kapur makan + 3 sudu makan air - larutkan
Pewarna hijau epal - jika suka warna yang lebih terang
Loyang 10" - 12"
Kelapa muda parut

Cara2:

1) Panaskan pengukus terlebih dahulu
2) Gaul semua tepung dan gula dalam mangkuk.
3) Blend daun pandan bersama air dan tapis.
4) Tuang air pandan ke dalam mangkuk berisi tepung. Kacau hingga sebati dan tapis.
5) Masukkan air kapur dan kacau. Tuang ke dalam loyang dan disapu minyak terlebih dahulu.
6) Kukus selama 30-35 minit dan balut penutup pengukus dengan kain untuk mengelak air menitik.
7) Bila dah masak, buka penutup dan biarkan kuih di pengukus dengan api yang masih terbuka selama 15 minit atau hingga air yang ada bertakung agak kering.
8) Sejukkan kuih baru dipotong.
9) Gaul dengan kelapa parut dan diletak sedikit garam.

Tips:
1) Untuk dapatkan struktur kuih yg lebih lembut tapi boleh dipotong, kurangkan tepung gandum dalam 1 1/2 sudu besar dan tambah tepung ubi dengan kuantiti yg sama.

2) Jika suka manis, boleh tambah lagi kuantiti gula

October 3, 2017

Lala Goreng Bercili


Wahh... sesekali makan memang sedap. Ianya sejenis lauk yang aaamat jarang masuk ke dalam rumah. Rasa dalam setahun dua ni memang tak beli lah. Tapi entah kenapa tiba2 abe bawa balik dari pasar. Ai suspek dia tengah murah sampai geram je nak beli.

Kami ni dah jarang beli seafood. Kadang2 je abe beli sotong. Udang beli untuk buat cucoq. Tapi walau puasa seafood pun, kolestrol akak tetap mencanak naiknyo. Ai suspek pasal mudah stress terutama dengan kerenah insan sekeliling. Hahaha.. tak abis2 suspek. Sokmo stress..

Apa2 pun akak gembira jugalah sebab walaupun banyak, menjelang malam habis licin tinggal kulit ja. Kita makan tak banyak.. En Abe tu la yang perabis. Fawwaz memang tak pandang makanan pelik2 nih.. hehe! Kalau habis tu tanda menepati citarasalah. Akak masak campak2 je sebenarnya. Jadi resipi kat bawah tu, boleh je adjust sendiri. Sebab saiz bawang, sudu kita pun tak semesti sama kan....


LALA BERCILI

Bahan2:

1 kilo lala - bersihkan.
4 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
3 sudu cili kisar (ikut citarasa)
Sos tiram
Sos cili
Sos tomato
2 batang serai - ketuk
Beberapa helai daun limau purut
Sedikit gula
Garam jika perlu (sebab dah letak sos)
Minyak untuk menumis
*Jika suka pedas, boleh tambah cili padi

Cara2:

Tumbuk/kisar bawang merah dan putih
Panaskan minyak, kemudian tumis bawang, serai dan cili hingga naik bau.
Masukkan sos tiram, sos cili dan sos tomato.
Tambah gula dan tumis seketika.
Masukkan lala serta daun limau, dan gaul hingga perencahnya rata.
Tutup sekejap dan bila dah terbuka2 semua lala, gaul beberapa kali sampai nampak berkilat dan tak berair.
Matikan api dan boleh dihidang terus.

Related Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...