Showing posts with label Bubur. Show all posts
Showing posts with label Bubur. Show all posts

October 8, 2017

Bubur Asyura Utara Lagi

Menjelang penghujung malam ni terasa penuh betul perut ku ini..  Manakan tidak, masa temankan Fawwaz tidur tadi, perut duk kruk kruk berbunyi2. Lapar sungguh bunyinya walau tengahari tadi lepas makan nasi lemak yang kedua (pertama masa sarapan) akak bercita2 tak mau makan nasi dah. Rupanya tak tahan daa.. Setakat sekepin roti bakar tak mampu dibuat alas perut. Jadinya, lepas Fawwaz tidur pukul 9 lebih, akak pun ke dapur mencari nasi. Ala sesenduk kecik ja.. ada lauk pun ikan tongkol kicap yg tinggal belah ekor dan separuh bahagian saja. Makanlah daku dengan penuh kesyukuran. Terus hilang bunyi perut..ngeh ngeh!!

Dah selesai cuci pinggan2 dan cawan2 di sink, buka pulak peti sejuk. Nampak pula bekas buboq sora yang tinggal suku isinya tu. Kemarin dulu adik ipaq hantaq mai tetengahari. Dah masuk hari ke3 tapi masih belum habis. Ku makan dengan berhemah, sayang nak habiskan cepat kot..hahahaa! Padahal sebenarnya kalau ikut nafsu, sekali makan boleh habis tu. Cuma akak ni jenis macam tu la kot.. Makan untuk merasa, simpan, keluarkan makan lagi, simpan.. sampailah ulang2 cycle nya dan abis.

Maka hari ini akak nak share resipi bubur asyura versi periuk besaq yang akak simpan dah setahun. Dulu letak kat FB je. Agaknya masa tu akak tgh merudum mood ber'blog'. So, hari ni akak transfer lah ke sini. Ini catitan masa akak dan adik beradik ipar duai sama2 mengacau buboq di rumah ni. Akak host jer, tolong sikit2 je sebab otai kan ado.. Kalau nak versi sikit, untuk makan sendiri dan bagi jiran sebelah jer, boleh check kat SINI.



RESIPI BUBUR ASYURA UTARA 
(Satu periuk besaq jenis tapak gajah)

Bahan2:

2 kg santan pekat
1 kg tepung beras
500g sagu - cuci dan tos
1 kg kacang hijau - rebus
500g kacang kuda - rebus
500g kacang merah (kidney beans) - rebus
1 1/2 kg keledek oren - dadu dan rebus
1 kg kacang tanah - goreng tanpa minyak dan buang kulit
2 sikat pisang awak - potong nipis/dadu
6 tongkol jagung - leraikan isi
1 kg gula pasir
500g gula merah - buat sirap dulu
1 tin susu/creamer manis
Garam secukup rasa (dalam 1 sb+)
Air secukupnya (dlm 2-3 liter, jangan banyak sangat, untuk cairkan santan pekat tu ja)

Cara2:

1) Campurkan tepung beras dan santan serta air dan kacau sampai mesra tak berketul. Masak dengan api perlahan sambil sentiasa dikacau sampai nampak pekat dan berkilat.
2) Masukkan sagu dan masak/kacau terus sehingga sagu nampak cantik sekata dan sebati dengan tepung
3) Masukkan kacang hijau dahulu, diikuti gula pasir, gula merah, susu, garam,  jagung... kacau terus, jangan berhenti. Masa ni ia akan cair sikit sebab gula dah cair
4) Masukkan pisang dan keledek.. kacau hingga pekat. Boleh besarkan sikit api kalau nak cepat..;)
5) Akhir sekali masukkan kacang merah (tujuannya supaya kacang tu masih berbentuk cantik dan tak hancur je..) dan kacang tanah (supaya kekal rangup)
6) Kacau sekejap hingga mesra, matikan api dan masuklah ke dalam bekas. Dah sejuk, baru boleh potong
7) Anggaran memasak 2-4 jam ikut saiz. Ambil sedikit bubur, letak atas piring dan terbalikkan. kalau kekal melekat, bermakna masak la tu..

Nota: Kalau tak mau warna kegelapan, abaikan GULA MERAH, dan tambah sikit gula pasiaq

Kacau sentiasa.. Nak lagi sedap, guna pelepah kelapa tu haa... ehehh
Letak kat daun part kerak2 tu... pastu nikmatinya ketika hangat2 suam


March 5, 2016

BUBUR SOMSOM YG LEMBUT

Projek semalam.. Panas lit lit kata orang sini, memang nyaman tekak makan benda ni.. Bubur orang Jawa. Biasanya kalau lepas atau semasa kenduri kahwin, kami buat bubur ni.. Kejap tadi baru selesaikan balance yg ada.. Alhamdulillah...


Resipi daripada mak.. memang mabeles. Akak buat untuk 7 orang makan, tapi akak sendiri entah berapa kali ulang daa.. eheh. Nak masaknya kenalah menahan sabar sikit sebab ambil masa banyak juga.. Sirap gula tu pulak kalau purely guna gula gerek a.k.a gula melaka akan jadi pucat jernih macam gambar di bawah. Nak kena campur gula merah sikit baru nampak lebih berseri. Tak perlu tambah gula putih..

Biasanya bubur somsom ni berwarna putih.. Tapi ramai juga yang buat dengan warna hijau dan diletak pandan. Akak cuma guna pandan paste kopoe2 tu jer..


BUBUR SOMSOM

Bahan2:

2 cawan tepung beras
4 sudu besar tepung ubi
6 cawan santan (akak guna 1 kotak kecil santan + selebihnya dengan air)
Perisa pandan & pewarna (optional)

Cara2:

Campurkan kesemua bahan dan kacau sebati hingga tiada ketulan tepung.


Masak dengan api yang perlahan dengan sentiasa mengacau sehingga menjadi pekat, berkilat dan tidak melekat di tepi periuk.
Tutup periuk, kecilkan api dan biarkan sehingga lebih kurang 45 min - 1 jam. Sesekali boleh di kacau supaya masak rata dan tutup semula.
Bila dah nampak berkilat dan cukup masak boleh matikan api. Kalau kelihatan masih agak cair (kerana perpeluhan), boleh buka penutup dan kacau sehingga likat baru matikan api.


Tuang ke dalam bekas berukuran 8"x 8" atau 9"x 9" atau boleh juga sendukan terus ke dalam beberapa mangkuk atau bekas. Pastikan benar2 sejuk sebelum makan.
Cara menghidang ialah dengan memotong terlebih dahulu (jika diletak di dalam bekas besar) dan dituang sirap gula merah.
Untuk lebih nyaman, sejukkan air gula atau letakkan ais kiub.

Sayang nak buang hat melekat2 tepi periuk, tu yg rupa gini.. hehe
SIRAP GULA

Bahan2:

5 keping gula gerek/melaka
1 senduk gula merah
Daun pandan
Air secukupnya

Cara2:

Masak kesemua bahan hingga mendidih.
Tapis dan sejukkan.
Jangan makan manis2 sangat.. sila campur air kalau terlalu manis ya.. ;)


October 26, 2015

Bubur Asyura (Utara)

Aktiviti akak petang tadi sambil menggoreng kentang (bahan sambal goreng),, Teringin benar nak makan bubur asyura. Nak buat sendiri.. Nak tunggu orang bagi macam tak patut lak kan.. ehehehe!!

Tahun lepas akak buat versi Selangor/Selatan.. abe kita macam tak gumbira. Sebab macam bubur lambuk jer katanya.. Kali ni tunjuk ke dia, terus je nak kata kalau hat sini dorang makan potong2.. mmm rasalah duluu.. Tak cukup sejuk, camna nak potong.. 2 jam tau kita masak. Bila dah rasa, terpejam2 mata tu.. Tak puji, tapi kite perasanlah sedap kannn... kikikih!

Hasil dari skodeng blog sesapa ntah (banyak sangat), makanya inilah yang terhasil.. Maaf, akak malam ni tak rajin nak edit gambor..kat HP nampak elok, kat lappy macam apa ntah ye..:P




BUBUR ASYURA UTARA
(versi jiran tak ramai... :P)

Bahan2:

Bahan A
250g tepung beras
50g tepung jagung
200ml santan (saya guna yg segera saja)
100g susu cair (1/4 tin)
250g gula pasir
125g gula merah/gula gerek/melaka
1 tin jagung manis
1 tin jagung manis
400g pisang berangan (6 biji) atau pisang emas - potong kiub (ramai yang guna pisang raja)
50g sagu - rendam dan tos
Daun pandan

Bahan B (ada yg guna dlm tin saja sebab nak cepat)
250g kacang hijau - rebus empuk
250g kacang kuda (1 tin)
250g kacang merah (1 tin)
300g keledek kuning - potong dadu

Cara2:
1) Gula merah dididihkan bersama air sehingga larut dan tapis
2) Gula putih dididihkan bersama air sehingga larut
3) Keledek direbus 3/4 masak kemudian asingkan airnya. Simpan air rebusan untuk digunakan semula
4) Satukan tepung beras, tepung jagung, santan, susu cair, air rebusan keledek, larutan gula merah dan gula putih. Adun sebati dan tapis. Masak sehingga 1/2 pekat.
5) Masukkan bahan B dan jagung manis juga sagu. Kecilkan api dan kacau sehingga 3/4 pekat.
6) Akhir sekali masukkan pisang. Kacau sehingga masak. Keseluruhannya saya masak hampir 2 jam.
7) Untuk menguji samada bubur dah cukup masak, ambil sedikit dan letak di atas piring. Sejukkan kemudian terbalikkan. Jika tidak melekat bermakna cukup masak.





November 4, 2014

Bubur Asyura versi Selangor

Sehari dua lepas, akak teringin sangat nak makan bubur asyura. Tapi yang macam belah2 selatan punya.. atau spesifiknya, macam orang2 kampung akak buat. Walau sebenarnya akak suka yang manis tu. Dah tentu yang manis tu asalnya dari belah2 sini kan.. Cuma, akak rasa rindu sangat dengan kampung halaman ni...

Bila akak jenguk2 kat google tu, memang yang paling popular ialah bubur asyura orang Utara. Adalah 2 kali akak merasa yang orang sini buat.. memang sedap sangat. Kalau yang belah selatan punya terutama Johor dan Selangor, buburnya seumpama bubur lambuk. Bezanya dibubuh kekacang yang pelbagai. Cuma akak semalam taklah letak pelbagai kacang.. cuma kacang tanah, kacang kuda dan kacang hijau. Sambil berjaga2 takut usus ni tak tahan.. duk nak kluaq angin ja nanti huhuuu..


Puaslah akak makan, dari berbuka sampai supper. Cuma bila abe balik, adalah kekeliruan sikit. Bila akak sebut bubur asyura tu dia teruja nak makan. Bila akak suakan mangkuk tu, ada sedikit kekerutan di wajah.. "Ini bubur lambuk...". Maka akak pun jawab setelah membuat sedikit penerangan, "..suka hatilah nak buat yg macamana.. hihi".

Bahan2 ni terutama kekacang, sebenarnya ikut suka kita. Saya pun tak merujuk sangat di mana2 melainkan ikut kepala sendiri.. Kita yg nak buat dia kan.. 



BUBUR ASYURA (versi TENGAH/SELATAN)

Bahan2 (dapat 1 periuk nasi kecil) :

1/4 cawan beras  
1/2 cawan daging yang dicincang (ikut suka)
Segenggam kacang kuda - rendam 2-3 jam
Segenggam kacang tanah (saya guna yg dah goreng dan dibuang kulit) 
Segenggam kacang hijau - rendam 2 - 3 jam
1/2 tongkol lobak merah - dadu 
1/4 cawan santan kotak (ikut nak lemak yg bagaimana)
Air secukupnya

Ramuan tumis/perisa:

Rempah 4 sekawan (1 kayu manis, 1 bunga lawang, 2 bunga cengkih dan 1 buah pelaga)
1 1/2 inci halia - tumbuk lumat dan campur air 1/2 cawan lalu ditapis dan ambil airnya
2 ulas bawang putih - hiris
1/4 labu bawang besar - hiris
1 batang serai - titik
1 helai daun bay

Hiasan:

Daun bawang/sup
Bawang goreng
Ikan bilis goreng

Cara2:

Cuci beras bersih-bersih.
Rendam terlebih dahulu kekacang supaya kembang dan mudah lembut. Kalau nak rebus siap2 sampai lembut pun boleh.
Tumis bawang putih dan bawang besar sehingga naik bau. Kemudian, masukkan rempah 4 sekawan dan kacau sehingga wangi dan bawang layu.
Masukkan daging dan kacau sehingga daging menjadi pucat.
Tuang air halia dan biarkan mendidih.
Masukkan beras, halia dan air yang banyak dan renih sehingga beras separuh hancur.
Masukkan juga kekacang (sekiranya belum direbus lembut) dan lobak.
Renih sehingga beras hancur dan kekacang lembut.
Masukkan santan yang dicampur air secukupnya (dalam 1 mangkuk kecil)
Perisakan dengan garam dan lada hitam atau lada sulah.
Tabur bawang goreng dan daun sup/bawang dan lain2 aksesori pilihan.

Nota:
Untuk kekacang, boleh tambah kekacang seperti kacang sayur, kacang soya, kacang merah dan lain2.


Keinginan dan kerajinan ni jenis tak menentu datangnya. Sepatutnya bubur ni dimakan beramai-ramai atau bagi orang rasa.. Malangnya akak tak dapat berbuat begitu sebab duduk sendiri2 kat rumah yang di hujung banang ni. Jiran2 boleh dikatakan tak nampak dari pintu rumah yang dari pelbagai ni melainkan rumah kongsi yg dah sepi. Jiran sama nama jalan pulak terpisah dengan longkang besar dan tasik. Dan memang banyak dalihnya kalau nak keluar rumah.. Jawabnya, peti sejuklah yang jadi mangsa menyimpan makanan tak habis. Mujurlah kucing2 suka bertandang ke rumah.. Adalah makhluk nak berkongsi makanan di sini.. hehehhh.


February 22, 2013

Moi Mangkuk Kecik

Dah lama teringinkan bubur nasi.. Yang dimakan dengan benda2 masin dan bawang goreng yang banyak. Baru hari ni lah dapat buat. Sebab pagi yang tenang, tak payah hantar anak ke sekolah. Orang utara panggil bubur nasi ni "moi".. kan kan??!!  Dulu masa kerja dengan kawan2 bangsa Cina, dorang suka makan moi ni dengan cakoi. Tapi akak tak pernah pulak tengok cara makannya.. Tak amik pot pun.

Standard akak, makan semangkuk kecik ni je...

Sudahnya, menu akak dari pagi hingga ke malam ialah si ah moi ni. Akak memang macam tu dek! Kalau boleh masak tak mau lebih sekali dalam sehari. Dapat pulak petang hari ni pi jalan2 ke Kuala Kedah. Tengok muzium, bukan nak pi Langkawi...erk!! Balik rumah dah maghrib. On the way pulak cik abe tak singgah mana2 setelah terlepas laksa apa entah tu... Dia pulak tak kisah makan apa2 (dlm hati cheq tak tau la... heeee). Especially malam, akak akan tanya dia nak makan apa. Kalau ada request, akak buat le. Jawapan paling digemari "apa2 yang ada je..." hehehe.. Tadi sebenarnya ada kak buat sambal kerang, tapi siang2 dia kata "banyak kolestrol ni!". Jadi dah malam akak tak offer walau nasi tu ada... Buat tak hengat kaedahnya  :P

So, cara2 akak buat moi ni...

BUBUR NASI a.k.a MOI

1 cawan beras (sebenarnya agak2 sebab tak guna pot beras tu)
1 inci halia
1 batang serai
1 ketul dada ayam
1/2 kiub ayam
Garam secukup rasa (dalam 1 sudu kecil)
Air yang banyak

Perhiasan /Aksesori

1 biji telur masin - hancurkan
1 genggam bilis - goreng
Bawang goreng
Daun bawang
Lada sulah

Cara2:

Cuci beras.
Masukkan semuan bahan dan masak sehingga nasi hancur. Terpulang suka yang pekat atau sedikit cair
Keluarkan ayam dan siat2 dagingnya
Tabur dengan aksesori sebelum menghidang.


October 30, 2011

Moi a.k.a Bubur Nasi

Dah jemu sarapan dengan nasi lemak, bihun goreng dan yg sewaktu di hujung minggu.  Jumaat lepas buat moi pulak.. Sedap pulak sesekali makan bubur nasi macam orang demam...  Eh! Tapi akak kalau demam apa pun tak selera.. paling2 biskut lemak cicah air teh-O je..  Gitulah gaya tekak demam ala cik siti... Tapi sejak ada anak ni, tak boleh ikutkan sangat kalau badan tak sedap.  Takkan ada chance nak manja2kan diri.. huhuhu!

Bahan2 :

1 cawan beras - jenis biasa je.. 
5-6 cawan air - selagi tak hancur elok, sila tambah air selalu heheh..
1 inci halia - potong nipis
1 batang serai - ketuk
1/2 batang carrot - potong dadu
1 sk serbuk stok ayam - kalau nak letak isi ayam pun sodap..
Garam ikut citarasa

Aksesori - kalau macam gambar ni ialah :
Ikan bilis goreng
Kacang tanah
Bawang goreng
Daun sup/bawang
Telur dadar - kalau nak best telur masin yg takde di Bahrain ni.. :D
Yang takde dalam gambar tapi ada atas meja - cili padi potong podeh ko tolingo + kicap manis

Cara2:
Campur semua bahan dengan beras dan masak hingga menjadi bubur..  Garam tu saya letak akhir sekali.. tapi boleh je nak bubuh awal2..  Dan ikutlah nak pekat ke, nak cair sikit ke...



August 4, 2011

Bubur Lambuk

Bubur Lambuk Cik Siti

Teringin pulak nak buat bubur lambuk... walau keinginan sebenar adalah bubur lambuk Terengganu yg penuh daun2 dan berwarna sedikit kemerahan (sebab ada pucuk paku merah), saya buat juga bubur versi KL... Tapi frankly, memangle saya tak pernah buat selamakini... makan pun jarang2.  Tapi bila tengok orang citer pasal bubur lambuk je kat M'sia tu, terpengaruh akak!!!

Maka semalam akak bertandangle kat My Resipi... jumpa resipi quinnie.  Katanya tgk kat TV.. pakcik yg masak bubur kat Kg Baru.. Terkabul hasrat ku... :))  So, simple je hidangan berbuka malam tadi... bubur, puding jagung, baked chicken spt di bawah dan buah... opps! air bandung lagi.... :D

Baked chicken with vege... sebagai lauk sampingan
Bahan2:
Sumber: My Resipi oleh quinnie

1 cawan beras
1 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar minyak masak
1 kulit kayu manis, 1 bunga lawang, 2 cengkih & 2 buah pelaga (4 sekawan)
Daging - ikut suka nak banyak mana (saya guna grounded meat je, 3/4 cawan)
Segenggam udang kering - saya guna sejemput je, tapi nampak banyak la jugak
2 helai daun pandan - tak letak sebab takde
1 sudu kecil halba
1 sudu kecil jintan manis/kasar
1 biji bawang besar - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
2 inci halia - blend dengan 2 cwn air dan tapis, ambil airnya
1 sudu kecil serbuk lada hitam
2 cawan santan pekat - saya guna santan cair je
Bawang goreng
Daun sup & daun bawang
Garam secukupnya
Saya tambah - 1 btg serai dititik dan 1 helai bay leave (daun salam)

1 cawan boleh makan 5 orang...
 Cara2:

1)  Panaskan minyak sapi dan minyak masak.  Tumis bawang besar dan bawang putih sampai wangi
2)  Bila dah naik bau, masukkan pula rempah 4 sekawan dan halba.  Kacau sekejap..
3)  Masukkan pula daging dan goreng sampai airnya keluar dan bertukar warna pucat.
4)  Masukkan pula air halia dan biarkan mendidih... dahtu tuang pula air biasa yg agak banyak untuk masak nasi nanti... didihkan juga
5)  Bila air dah mendidih, masukkan lada hitam.. diikuti beras.  Biarkan sampai beras hancur...
6)  Bila dah hancur, baru masukkan udang kering dan garam.  Masa ni saya masukkan juga serai dan daun bay.
7)  Masukkan pula santan.. biarkan sampai nasi betul2 masak, lembut dan pekat... Kalau tak cukup hancur, boleh je tambah air lagi... Sambil tu kacau2 selalu sebab takut melekat bawahnya.. dan santan tak berkumpul setempat (betui ka bahasa ni?? heheh..)
8)  Dah matikan api, boleh tabur bawang goreng dan daun sup... sebab kat sini bukan musim ada daun sup, saya letak daun parsley je...

Sedap... kalau yg suka cair sikit, boleh lebihkan air...
Bila buat bubur ni teringat zaman kerja dulu... cilok dari office dgn seketeri boss sebab teringin bubur lambuk kg baru.. dari bukit jalil, sanggup meredah jam di Jln Sultan Ismail dan beratur kat masjid.. balik jam lagi! hahahhh itulah kerja paling gila di bulan puasa, bila kepala pun tgh gila.. (mesti masa tu tgh bosan giler kat office). Ini kira projek senyap yg tak sorang pun tau walau best friend, apalagi yg tak berapa best... Ita, I miss you lah!!!