December 17, 2018

Bomboloni Italian Donuts



Sejenis perangai... Dah lama rupanya akak perap entri hat ni. Dah lebih sebulan baru tergerak nak tengok balik. Tapi takpalah no... Akak post sekarang juga!

DONUT yang lembut dan pernah meriah lalu lalang kat wall instagram akak yang tak berapa ada follower tapi posting banyak tuh..ekekeke. Alaa..akak ni bukan retis apalagi selebriti. Akak hidup di dunia tersendiri dan yg lebih suka memerhati orang dari enterprem mereka.

Sedap donut ni dan memang lembut. Lebih lembut dari posting akak yg sebelum ni. Akak buat demi nak bagi adik beradik rasa nikmatnya makan donut ada fillings yang takyah bayar mahai2. Akak senang hati belanja. Kalau beli, paling murah pun RM4 seketoi. Tapi macam selalu, akak lebih suka makan yg plain tu. Sebab tekak semakin sensitif dengan benda manis. Walhal taklah manis sangat pun kejadian donut ni. Sebab akak golek pun dengan gula aising.

Resipi akak dapat dari Majalah Rasa (IG) oleh Lina Thomas.


OVERNIGHT BOMBOLONI ITALIAN DONUTS
Resipi asal: Lina Thomas @majalahrasa
Olah semula : Cik Siti
(27 biji x 30g)

Bahan2:

1/4 cawan gula
3/4 cawan air suam/susu segar suam (sy guna fullmilk)
1 sudu teh yis kering
3 bili telur A
4 cawan tepung gandum
1 sk parutan lemon (kulit)
1 sk garam
100g pure butter suhu bilik potong kiub (akak guna buttercup tong je)

Cara2:

1) Masukkan  gula dan yis ke dalam air suam/susu segar suam dalam mangkuk. Ketepikan selama kira2 10 minit atau sehingga mula gelembung.
2) Dalam mixer, pukul telur. Masukkan butter, tepung, kulit lemon dan campuran yis. Putar kira-kira 5 minit.
3) Masukkan garam dan putar terus sampai doh menjadi licin glossy dan elastik. Proses ni agak lama, bergantung kepada mesin yg kita guna.
4) Tutup mangkuk dengan plastik cling dan perap selama 2 jam atau hingga naik sekali ganda. Tumbuk doh untuk keluarkan angin.
5) Tutup semula mangkuk dan simpan ke dalam peti sejuk (refrigerator) selama 12-16 jam atau semalaman.

Keesokan harinya:
6) Keluarkan doh dari peti ais dan rehatkan sekejap (saya rehatkan hampir 1 jam)
7) Gelekkan doh dalam 3/4 cm dan terap dengan muka gelas atau acu yang sesuai, kemudian bentukkan menjadi bulat (spt bola)
8) Biarkan selama 2 jam atau menjadi 2 kali ganda.
9) Goreng selama 2-3 minit menggunakan minyak yang banyak dan sederhana panas, api yang kecil sahaja.

October 12, 2018

DONUT di Musim Hujan

Viral sana sini pasal donut yang ada fillings kat dalamnya terutama kat IG. Seksa mak yg pencinta donut melebihi anaknya nih. Terbayang2 donut yg berintikan custard cream, tak pun lemon cream tu. Yang tak berapa manis. Sebab akak sekarang agak alah kepada kemanisan melampau. Tapi tetap nak yang manis sikit2.

Kisah hari tu. Mak mencoba resipi kat youtube kepunyaan Michael Lim yang sangat teliti kelihatannya tapi mudah je cara dia menyiapkan donut tu. Macam bawah ni lah... akak tiru sebijik2 bahan dah ubah jadi ayat mudah je.


DONUTS GEBU
Resipi asal : Michael Lim (Strawberry Jam Donuts)
Alihbahasa dan olah semula: Cik Siti

Filling:
Ikut citarasa

Doh:
560 g tepung gandum / All purpose
280 g susu 'full milk' - suhu bilik
11 g yis kering (1 peket kecil)
50 g mentega
40 g gula halus/kastor
5 g garam halus
1 biji telur saiz sederhana (B atau 57-60g bersama kulit)

Salutan:
Boleh guna gula kastor atau aising

* Sediakan acu bulat atau guna cawan plastik ikut saiz yg disukai

Cara2:

1. Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk dan mulakan menguli. Boleh gunakan mesin penguli atau hand mixer sahaja. Uli sehingga menjadi doh lembut , tindak melekat dan elastik.
2. Tutup dengan plastik dan biarkan ia mengembang sekali ganda (dalam 30-40 min)
3. Keluarkan doh, sapu2 dengan tepung dan tabur juga papan canai dengan tepung. Canai doh setebal 1 - 1 1/2 cm.
4. Lekapkan acu terlebih dahulu ke dalam tepung supaya mudah untuk proses menerap doh. Tekap bulat2 dan susun pada loyang atau dulang yg telah ditabur tepung supaya tidak melekat. Rehatkan kejap dalam 10-15 minit.
5. Goreng di dalam pan dengan minyak penuh dengan api sederhana kecil. Apabila telah berwarna perang cantik, baru terbalikkan. Angkat dan toskan sebelum disalut gula.
6. Untuk memasukkan filling, masukkan jam atau apa2 filling ke dalam plastik piping yang diletakkan nozel bulat dan paipkan terus ke dalam donut. Boleh juga dibuatkan lubang dengan straw dlm 1" terlebih dahulu dan paipkan filling.

SEKIAN...


Gambar peristiwa

Selepas diuli, perap dulu sebelum dibentuk menjadi donut. Tutup dgn plastik cling
Akak bahagikan dulu kepada portion kecil sebelum mencanai sebab papan pun kecik
Tekap bulat2 guna mulut gelas, biarkan naik sekejap baru digoreng. Kalau nak bentuk donut biasa 🍩, nak goreng tu baru cucok bahagian tengah dengan jari 

Minyak sebaiknya banyak lagi supaya tenggelam separuh donut tu masa goreng dan tak mencecah lantai pan
Sedap dan kenyang. Lain kali nak buat gelap sikit lagi


October 5, 2018

Blueberry Croissant Puff

Kisah hari itu di kala napsu makan menggelodak. Sebenarnya entah bila akak tulis, letak kat draft, dan baru malam ni akak tengok balik. Janji akak pos nohhh..


Sepatutnya tajuk asal ialah Blueberry & Raspberry Croissant Puff. Tapi entah manalah nak cari raspberry dalam situasi cemas ekk.. Akak pi Tesco, jumpa blueberry raw tu pun dah kira OK. Pastu beli croissant sekali. Sementara bahan2 lain memang dah ada dalam stok.

Idea buat datang dari lintasan video yang dikongsi di FB oleh seseorang. Ia amat mengundang keinginan akak, tak boleh tunggu esok2 dah. Makan seperti di bawah kejadiannya.

Yang paling penting, anak mak si Ahmad Fawwaz suka. Cakap omputeh terus dia bila terpandang. Pudding dessert katanya... tak sabor2 nak merasa :)  Akak tulis balik resipinya ikut bahasa akak. Lagipun resipi asal dalam English.




BLUEBERRY (& RASPBERRY) CROISSANT PUFF
Resipi asal: bellyfull.net
Olah semula : Cik Siti

Bahan2:

3-4 keping croissant (saiz sederhana macam di Tesco)*
226 g cream cheese, suhu bilik
2/3 cawan gula kastor
2 biji telur A
3/4 cawan susu segar/full cream
1 sk esen vanilla
1/2 cawan frozen bluebery (sy guna separuh dari yg dibeli di tesco)
1/2 cawan frozen raspberry (sy tukar kepada ceri sbb tak jumpa)

Cara2:

1. Panaskan oven 165C atau ikut kebiasaan. Sediakan loyang bersaiz 8 inci atau bekas kaca seperti yg saya guna.
2. Potong croisant kecil2 dan masukkan ke dalam loyang. Masukkan sekali blueberry dan raspberry/ceri dan gaul2
3. Dalam mangkuk lain, pukul cream cheese bersama gula sehingga gebu. Masukkan telur dan vanila. Pukul hingga sebati. Kemudian tuang susu sedikit demi sedikit, sambil diputar sehingga sebati.
4. Tuang adunan cream cheese ke atas croisant dan tekan2 sehingga kesemua croisant tenggelam atau diselaputi cream.
5. Bakar 35-40 minit sehingga puding kelihatan coklat keemasan.
6. Tabur sedikit gula aising di atasnya sebelum menghidang


Gambar peristiwa:

Sebenarnya akak campur yg beli di Tesco dan King's Bakery
Potong2 macam ni

Menyediakan adunan cream cheese
Sebelum dibakar. Akak tak tuang penuh supaya nampak timbul2

OK lah... dah pukui 1 pagi. Patut orang dah bangun Tahajjud akak duk sedap mengetik. Lepas geram sebab lama dah tak tulis resipi. Takut hilang terus resipi kat HP. Gud nite yo..

October 4, 2018

Basque Burnt Cheesecake

Sesuatu yg viral sedang dikesan di media sosial terutama di Instagram geng baking 😁😘

Maka ai yg tengah mengidam itu dan ini terus terpengaruh nak buat juga. Memandangkan bahan2nya senang dan memang sedia ada dlm stok, terus2 je hakak buat..yeyyy!

Resipi ada banyak. Kebanyakan untuk portion yg agak besar dan guna cream cheese yang banyak. Akhirnya dapat juga yg guna sikit memandangkan akak memang ada creamcheese yg dah sedia terbuka dekat 300g. Sayang kalau tak guna semua.  Moh check kat bawah tanpa perlu bercerita panjang lebar!!


Nota: Abaikan rupa paras tepi kek yg disebabkan terlalu gelojoh menarik alasnye ni :)


BURNT CHEESECAKE
Olahan semula dr pelbagai sumber oleh CS

Bahan2:

290 g cream cheese (boleh saja kalau nak guna 250g )
80 g gula kastor
2 biji telur
120 g UHT whipping cream
3/4 sk esen vanilla
3/4 sk jus lemon
9 g tepung gandum

Cara2:

1. Panaskan oven dgn suhu 200C.
2. Pukul cream cheese sebentar.
3. Masukkan gula. Pukul hingga gebu.
4. Masukkan telur, esen dan jus lemon. Teruskan memutar
5. Tuang whipping cream, diikuti tepung. Putar sebentar hingga sebati. Guna low speed saja.
6. Siapkan loyang bersaiz 7 inci. Alaskan dengan kertas baking yg bersaiz besar
7. Tuang adunan ke dalam loyang. Bakar selama 1 jam. Kek ni memang kena hangus seperti namanya yg sah 😁
8. Setelah masak, biarkan kek sejuk dahulu sebelum dipotong. Sebaiknya simpan di dalam peti sejuk dahulu untuk mendapatkan kepuasan makan yg maksimum... 😍

Nota:  Berdasarkan pengalaman makan selama 2 hari, kek ni lebih sedap setelah lebih sehari didalam peti sejuk. Rasnya tidak boleh digambarkan di sini ehehh..


Peristiwa bergambar

Putar cream cheese dan gula sehingga kembang
Masukkan telur
Masukkan WC, esen dan jus lemon
Baking paper kena besar dan mengalas keseluruhan bahagian dalam loyang







July 25, 2018

Tepung Boko Ubi Kayu Sedap


Semalam abe cabut pokok ubi yang kuruih dan keding sesuai dengan identiti isterinya ini..hehhh!  Dapatlah beberapa ketoi ubi. Syioknye isteri tengok sebab dah berapa lama entah duk save resipi boko ubi yang mengancem jiwa dari IG Majalah Rasa.

Akhirnya dapat jugak hakak buat... Adoih! Memang favourite lah kalau makanan berunsur ubi nih. Lagi2 yg jenis parut2 gini. Macam malas jer kan bab2 parut. Tapi nak makan benda sedap, kenalah gigih. Kalau blend kurang sikit nikmat. Banyak air, banyak kojer nak tapis2 bagai.

Jadinya, mehle akak share resipinya sebelum terlupa. Nanti tak payah nak google2 orang punya rumah..😅😅  Cara buat pun pun simple je.. ada sikit2 macam cara lepat ubi, cuma tak berbungkus je. Kuih ni asalnya dari Klate katanya. Memandangkan akak 7-8 thn sekali melawat Kelantan, idokle pernah makan hasil tangan orang2 sana.. Kenalah buat sendiri.. :)



TEPUNG BOKO UBI KAYU
Kredit: Majalahrasa (IG), Zaiman Zakaria

Bahan2:
2 cawan ubi kayu parut
1 cawan gula merah * - boleh kurangkan sikit jika kurang suka manis
1 cawan air *
3 helai daun pandan *

Cara2:

1) Masak bahan2 bertanda * hingga larut. Tapis dan sejukkan.
2) Campurkan ubi parut dengan air gula tersebut dan gaul rata. Tuang ke dalam loyang bersaiz 7" x 7". 
3) Panaskan kukusan terlebih dahulu dan kukus selama 30-40 minit atau sehingga masak. Angkat dan ketepikan.

KEPALA/KUAH SANTAN

Bahan2:
1 cawan santan pekat - sy guna santan segar RM2.
1 cawan air - boleh lebihkan jika suka cair sedikit
3 sudu besar tepung beras
1 sudu kecil gula
1/2 sudu garam

Cara2:

Satukan kesemua bahan di dalam periuk.
Kacau sehingga semua bahan larut.
Masak dengan api kecil sehingga menjadi pekat (mendidih).

CARA MENGHIDANG
Sendukkan ubi ke dalam bekas atau mangkuk. Tuang kuah santan 😋😋


Akak lagi gemor makan dengan kelapa macam nih.. Kurang muak.

May 20, 2018

Bahulu Kemboja



Dah berbulan tulis... baru ingat nak post hari ni.. 😅

***************************

Malam ni akak nak letak resipi sejenis kuih tradisional. Agak popular kat kampung akak tapi boleh tahan susahnya nak dapat. Biasanya kalau nak beli dengan skala banyak, atau untuk dibuat manisan hantaran, kena order dari sipembuat. Lagi2 zaman2 sekarang ni.. orang ramai jaga diet. Sebab kadar pesakit diabetis yang meningkat. Hanya yang tak boleh tahan pantang je cari kot...hahaha!

BAULU KEMBOJA ni nama jer baulu tapi sebenornya sejenis kuih. Rasanya yang amat manis...tapi akak suka. Kalau dikurangkan manisnya, jadi kuih bakar atau bengkang. Tak pun, rasa tak jadi ori, tak tahan lama. Kalau original resipi, dia punya kerak gula tu akan naik. Lama2 letak kat luar pun tak basi. Nak makan amik seketul je, jangan banyak2..hehe!

Akak dapat resipi ni dari mak. Entah interview yang kali ke berapa entah. Asal teringat jer, tanya. Dulu pernah rasanya post kat sini. Tapi yang tu tak berapa menjadi. Kali ni tanya dan siap2 tulis. Sekali buat tersilap bubuh tepung. Gagal! Buat lagi... Haaa baru jadi. Ya Allah, sukanyaaa. Kalau teringin je boleh buat. Kat Jitra ni tak pernah jumpa baulu kemboja. Baulu lembut tu adolah..hihi. Mak bagi resipi sukatan mangkuk sebab dulu2 memang dia jual. Jadi kena sukatan mangkuk lah. Akak kecikkan skala, versi cawan x 2 biji je. Haaa... takyah nak jual2. Makan sendiri!



Jom pi dapur godek2 tepung..!


BAHULU KEMBOJA
(untuk 2 biji ukuran loyang bunga 1 atau 2)

Bahan2:

1/2 cawan telur (2 biji saiz B)
1/2 cawan tepung gandum - keluarkan 1 sudu besar dan gantikan dengan tepung beras*
1 sudu besar tepung beras*
1 cawan gula pasir
1 cawan santan (saya guna santan beli RM2 + air perahan daun pandan)
1 titik pewarna hijau - saya tambah
Sedikit paste pandan - optional jika tiada daun pandan
Bijan secukupnya

Cara2:

1) Kacau telur dan gula guna whisk atau senduk je
2) Masukkan tepung dan kacau sebati
3) Masukkan santan, adun sebati dan biarkan sebentar (saya perap dalam 2-3 jam)
4) Panaskan oven 180C. Masukkan acu berbentuk bunga dan panaskan sebentar.
5) Keluarkan acu yang telah panas, sapu/tuang sedikit minyak dan masukkan adunan sama paras dengan permukaan acu. Taburkan bijan ke atasnya.
6) Bakar selama 35-40 minit (ikut citarasa nak berkerak lagu mana..)
5) Keluarkan dari oven dan sejukkan.

Nota: Kuih ni tahan berhari2 dalam suhu bilik. Kalau nak lebih tahan, simpan di dalam peti sejuk.

February 25, 2018

Sambal Tempe Bunga Kantan

Nama asalnya TEMPE KECOMBRANG. Walau akak Jawa totok, memang tak pernah makan menu ni. Sampailah sohabat akak si Mima bagi tunjuk. Ohhh.. rupanya kecombrang tu adalah BUNGA KANTAN dalam bahasa Indonesia. Makcik kita yg asal sana pun tak pernah sembang. Yang selalu dia masa tu tempe bacem jer..

OK lah.. first time makan memang sedap la. Rasanya kalau bunga kantan tu lebih banyak, lagi sedap kot. Disebabkan masa cara kedekut dan baru testing, akak boh sebatang je dulu. Kat Jitra ni bunga kantan idokle mahal sangat macam di KL spt yang didakwa oleh kawan akak. Sini baru RM1 utk sebatang. Kat KL sampai RM3 katanya.. Sejak dah bukan org KL, akak memang tak tau hal ehwal di sana tu..hihi.

Meh check resipi. Buat ni hati2, sebab macam nak menambah nasi jerr.. Sepinggan macam tak cukup 😋😅


SAMBAL TEMPE BUNGA KANTAN

Bahan2:

1 keping tempe - potong kecil2
2 batang bunga kantan - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1 labu bawang besar (nak guna bawang kecil pun boleh) - hiris
Cili padi ikut citarasa - hiris
Sedikit kicap manis (optional)
Sedikit sos tiram (optional)
Garam & gula - jika suka
Minyak masak

Cara2:

1) Goreng tempe dahulu, jangan sampai garing
2) Tumis bawang putih dan bawang merah sebentar
3) Masukkan bunga kantan, cili padi dan tempe. Tambah sos tiram dan kicap. Kicap tu saya letak dalam 2-3 titik je untuk bagi seri.
4) Kacau seketika sampai mesra dan bunga kantan nampak macam dah layu. Rasakan masin manisnya biar seimbang.


February 24, 2018

Ikan Tongkol Black Pepper

Assalamualaikum...

Ini menu dah lama dah. Tapi baru belek2 gambor nya. Akak ni jenis suka makan apa jua jenis ikan yang dibelikan. Tapi kalau diberi pilihan, memang tak suka ikan yang banyak tulang.. Mujo jarang masuk dapur hat yang macam tu..

Ikan tongkol memang akak suka. Sebab banyak daging dan ada benda hitam2 tu. Walau keras kengkadang, tak pernah berbelen sampai jadi juadah si kucen gelandangan..heeee.

Malas nak cakap banyak sebab dah masuk waktu tido, mehlah akak terus tulis resipi.


IKAN TONGKOL BLACK PEPPER

Bahan2:

1 ekor ikan tongkol - potong jadi beberapa bahagian
Garam & kunyit secukupnya
3 ulas bawang putih - hiris/tumbuk
1 labu bawang besar - hiris/tumbuk (nak bawang lebih pun boleh jika suka)
1 inci halia - hiris
1 batang cili merah/hijau
Lada hitam - tumbuk kasar
Sos lada hitam
Sos tiram
Kicap manis (akak guna 2 > jalen + mudim)
Tomato - belah 4
Kacang panjang - jika suka
Gula dan garam - jika perlu
Minyak masak

Cara2:

1) Lumur ikan dengan garam dan kunyit, seterusnya digoreng jangan sampai garing
2) Tumis bahan2 hiris sehingga layu.
3) Masukkan bahan2 sos dan kicap, diikuti ikan, lada hitam, cili, tomato dan lain2.
4) Gaul2 hingga ikan dan perencah nampak mesra.
5) Perasakan dengan garam dan gula jika perlu. Kebiasaannya, campuran sos dan kicap sudah cukup masinnya.


January 14, 2018

Begedil Tauhu Kekasih Paksa Rela

Ha kau!! Jangan terperanjat akan tajuk begedil akak!!! Hahaha... udah giler gamaknya. Dah tua gini sibuk je nak fefeeling drama akasia. Alahhh.. bukan apa, isi masa lapang. Akak memang le gemor benor dengan si remy tuh sedari dulu. Dari zaman2 cerita Sinderela ke apa ntah tu yang dia jadi orang bangsawan. Tapi bukanla semua lakonan beliau akak follow. Jika tertengok jerr... Tapi hat Kekasih Paksa Rela ni memang berantu. Sampai geng2 underground akak pun ada yg sama terjebak.. hihi!

Berbalik kisah begedil... dah lama akak teringin bila kawan di duk cerita. Sesekali terlalu kat wall IG pulak tu. Maka akak pun berazam sempena tahun baru 2018, nak buat jugak. Bukan susah pun kan... Cuma akak ni jenama ketinggalan ketapi lah kot. Orang dah lama makan, akak baru nak nerai.

Berikut adalah resipi yang akak cilok2 dari satu post di FB. Tak perasan MAHN ke apa ekk.. Akak guna je tauhu pok yang dibeli di Tesco. Ada tanda halal, senang sikit hati.


RESIPI BEGEDIL TAUHU

Bahan2:

1 peket tauhu pok (10 keping)
3 biji kentang saiz sederhana
Sekeping dada ayam - ikut keperluan dan selera
Daun sup - hiris halus
Bawang goreng
Lada sulah - sy guna ajishio
Sedikit garam
Telur - dikocak

Cara2:

1) Tauhu pok di belah sedikit permukaannya dan dikeluarkan isi.
2) Kentang dipotong kecil dan goreng sehingga masak dan sedikit garing. Kemudian dilenyek.
3) Dada ayam direbus terlebih dahulu dan disiat-siat.
4) Masukkan isi tauhu, kentang, isi ayam, dan bahan2 lain (kecuali telur) ke dalam bekas. Gaul sebati dan secukup rasa.
5) Masukkan bahan (4) ke dalam tauhu. Buat sehingga habis.
6) Celupkan ke dalam telur lalu goreng hingga garing.

Untuk PENCICAH pula akak buat shortcut jer..

Ambil beberapa sudu kuah rojak tak kira jenama, lepastu cairkan sikit. Sebab kuah rojak readymade tu kan selalu pekat sangat. Adjust lah sikit rasanya jika perlu.

Kalau rajin, boleh buat sendiri. Tapi akak takdalah resipi ni di sini.

Potong tauhu pok dan sumbat ketang macam ni. Kemudian celup dengan telur. Kalau tak mau banyak2 buih masa menggoreng, guna putih telur sahaja...
Kejadian sebelum ditelan,.hahah!!

January 12, 2018

Tempahan, Kek Baru dan Eksperimen

Assalamualaikum..

Masih belum terlewat untuk akak ucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2018. Walau masa menulis ni dah 12hb Januari...

Sambil meneman dak Fawwaz menonton Indiana Jones kat TV3 dengan penuh minat. Idokle akak tau kat mana dia menelaah Indiana Jones tu membuat dia hapal benor akan cerita tu..hihihh. Kat youtube barangkali. Padahal selalu check dia tengok katun takpun game dan vlog jer. Jangan yg bukan2 udahh... Kena ketatkan pemantauan.

Hari ni hari santai akak sebenarnya. Membuat akak punya masa di makmal dapur akak yang kian serabut mata memandang tu. Semalam dah bereksperimen dengan KEK NEAPOLITAN versi PJJ dan premium. Pagi ni tinggal perkemas, potong dan posing2 gitu! Ya Allah... puas hati kiranya. Tak rugi melabur RM80 untuk satu resipi.

Lepas tu, menjelang tengahari buat BEGEDIL TAUHU pulak. Ingat nak letak resipi, tapi esok2 je lah... Fawwaz duk sound jer dari sofa tu.

Berbalik kisah Kek Neapolitan yang menjadi kegilaan akak secara tiba2 tu, minggu lepas baru siapkan order dari the one very loyal customer, Fizah. Minta buatkan kek ni untuk anak daranya di asrama dan kawan2 beliau. Jadi, akak pun buatkanlah hat besar sikit saiz 10". Terliur jugak, tapi malas nak buat 2 ketul bagai. Lagi pun kan nak buat ujikaji dengan resipi beli...hehe!

Kek ditempah oleh Fizah.. Saiz 10"
Neapolitan dengan balutan dan filling Swiss Meringue Buttercream.
Kek ni berharga antaran RM120 - RM140 mengikut deko pilihan