September 27, 2014

KEK LAPIS JAGUNG (CORN LAYER)

Eksperimen pagi ni membawa ke tengahari..

Asalnya akak ternampak di blog Cute Oven Small Kitchen beberapa hari yang lepas.. Nampak sangat menarik. Tapi akak malas nak gi kedai bakeri sebab banyak lagi stok bahan kat dapur tu. Yang tak ada cuma perisa atau emulco jagung. Jadi, akak cuma beli perisa tu di Yawata, pasaraya tersohor di Jitra ni.. hehehe! Perisa cap star tu mungkin tak cukup rasa berbanding jenis paste pekat atau emulco yang selalu ada di kedai bakeri. Akak pun tak pasti ada ke tidak paste tu sebab tak pernah membelek.


Untuk kek span pula akak mencuba resipi Sweet4ever di MyResipi yang selalu disebut-sebut. Adunan agak banyak untuk kek bersaiz 8". Namun kejadiannya sangatlah baiknya. Sebenarnya tak banyak beza dengan resipi Pandan Layer tempohari. Akak ubah sikit resipi tu mengikut kesesuaian sebab resipi asal adalah untuk kek span pandan.


Ada sedikit kecuaian akak iaitu tak betul-betul mengukur ketinggian kek dan loyang tu. Bila dah masuk kastad dan susun kek satu demi satu baru nampak di step terakhir yang kek tu tertinggi sikit berbanding loyang. Jadinya berdiri kek tu kurang stabil sikit.. huhuhu. Inilah namanya pengalaman dan pelajaran.


KEK LAPIS JAGUNG

Bahan2:

150g tepung superfine 
1 st serbuk penaik
150g gula kastor
5 biji telur A
1 sb ovalette
80 ml susu segar/full cream (saya tukar dr resipi asal)
80 ml minyak/mentega cair
1 st perisa/emulco jagung
1/2 st perwarna kuning (saya guna kuning telur)

Cara2: 

1) Ayak tepung dan serbuk penaik terlebih dahulu
2) Masukkan sekali gula, ovallette, tepung dan telur ke dalam bekas pengadun. Pukul dengan kelajuan maksimum selama 5 minit (sehingga adunan pekat dan gebu).
3) Masukkan susu, perisa dan pewarna. Putar semula untuk beberapa minit (3-4) dengan kelajuan maksimum sehingga adunan ringan. 
4) Tuangkan minyak atau mentega cair dan gaul hingga sebati dengan kaedah kaup balik menggunakan spatula atau senduk.
5) Tuang ke dalam loyang berukuran 8" yang terlebih dahulu dialas dengan kertas 'baking' dan disapu minyak/butter. Untuk kek span, biasanya saya tidak men'gris' tepi loyang supaya kek 'maintain' dengan ukuran asal atau tak mengecut bila keluar dari oven.
6) Bakar dengan suhu 165C selama 45 minit atau sehingga betul2 masak. Pastikan oven dipanaskan terlebih dahulu sebelum membakar.
7) Sisipkan tepi kek dengan pisau dan segera telangkupkan kek ke atas redai supaya ia tidak mendap.



 KASTAD JAGUNG

 Bahan2:

1200 ml santan - saya guna 200g santan kotak + air secukupnya
100 g tepung hoen kwee putih
1 cawan gula kaster
10 g serbuk agar-agar
Secubit garam
1 1/2 st perisa jagung
1 st pewarna kuning telur

Cara2:

Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk, sebaiknya yang non-stick. Gaul sebati guna hand whisk.
Letak atas api kecil dan kacau sehingga menjadi likat atau meletup2 dalam periuk. Tak perlu sampai kental sangat nanti takut tak cantik. Tak perlu juga tunggu sejuk, terus lakukan penyusunan kek dan kastad.


CARA NAK BUAT LAYER

1. Potong tepi kek dalam 1 cm.. saya letak loyang 7" di atas kek dan potong guna pisau biasa ikut ukuran loyang tu. Lepas tu, potong jadi 3 keping

2. Cuci loyang yang digunakan untuk membakar kek tadi tanpa menggunakan sabun untuk mengekalkan kesan minyak; atau sapu nipis mentega di dasar loyang sebelum menuang kastad.

3. Sendukkan sedikit kastad dan ratakan. Kemudian letak kek ke atasnya. Ulangi langkah ini sampai habis..

Pastikan kastad tu cukup ye.. Lagi satu, bila dah step akhir, ratakan kastad dengan spatula secara perlahan dan goyang2 sikit biar rata. Dah selesai, simpan dalam peti sejuk untuk menstabilkan kastad. Dalam 1-2 jam dah boleh keluarkan dari loyang dan potong..


September 26, 2014

Grilled Chicken and Potato


Tengahari tadi atas permintaan en abe, buat grilled chicken yg ala2 ja untuk lunch.  Main kaut apa yg ada dalam dapur. Padahal tadi ikut dia ke pasar Tok Jalai.. cuma akak ni tak suka masuk pasar tu bila dah mula ramai orang. Akak cuma suka pergi market pagi di pekan Jitra tu je sebab kurang orang dan lebih awal operasinya. Tapinya, ikan kat market selalu kurang menarik berbanding di pasar malam yg pernah akak masuk. Apa2 pun, akak memang malas pergi pasar lain dengan alasan banyak jin kat situ.. hahaha. Akak sentiasa redha dengan apa yang abe belikan dan masak dengan kasih sayang... ;)

Sebenarnya dah nak masuk 3 tahun tak membakar ayam ni. Rasa nak makan, cari je Kenny Rogers Roasters. Mujur ada jugak satu kat Alor Setar tu.. Tempat pun tenang.  Resipi akak ni sangat simple. Dah akak kata main kaut je apa bahan yang ada... yang penting healthy & less salt + oil..


AYAM BAKAR 

Bahan2:

2 ketul peha ayam - buang kulit dah kelar sedikit
3 biji bawang putih *
1/4 labu bawang besar/holland *
1 inci halia *
1 batang serain *
1 sudu besar mayonaise * 
Sedikit ketumbar *
Sedikit lada hitam *
Sedikit garam
Sedikit gula/madu

Cara2:

Tumbuk/kisar semua bahan *. Selepas itu lumur kan pada ayam beserta garam dan gula. Perap 2 jam atau kalau nak lebih sedap, semalaman.

Bakar menggunakan oven, pan pemanggang atau lain2 cara kebiasaan anda.. Percikkan sedikit minyak..

First time bakar gunakan pemanggang ajaib ni... semua benda termasuk aksesori masukkan kat situ..

Hidangan Tambahan

Kentang bakar - kupas kulit kentang dan potong ikut citarasa. Cuci, tos dan lumurkan dengan mentega. Tabur sedikit lada sulah (saya guna ajishio), kemudian dibungkus dengan aluminium foil. Boleh juga kalau nak perap sekali dengan ayam. Bila nak bakar sekali, baru asingkan dan bungkus.

Lain2 aksesori yg dicadangkan - carrot, cauliflower, brokoli..

Makan dengan sos mengikut kegemaran.

September 23, 2014

Kek Mentega

Kek mentega a.k.a butter cake..


Akak sebenarnya tak pernah buat sebelum ni dan tak pernah masuk list. Tapi, satu hari dapat wedding gift yang sebenarnya en abe yang bawak selepas pergi ke satu majlis. Adalah sepotong kek butter yang tak dipedulikan. Fawwaz memang takkan makan punya. Abe pun kalau bukan masanya untuk makan, dia tak akan makan kudap-kudapan ni. Tak macam ahkak, duk mengudappp je.. hihi!

Kek butter yang tu rasanya sedaplah! Lemak dan terasa butter dia.. Cuma tak cukup, sebab sepotong kecik je.. Sejak tu, akak pun simpan harapan nak buat sebijik. Tapi kena delay sikit sebab kek coklat masih banyak dalam fridge. Bila dah tinggal sepotong, baru akak mulakan projek. Bahan2 pun ada.. cuma tak pernah sempat singgah ke kedai nak beli telur. Tak cukup sebiji. Takpelah, nak juga buat.

Alhamdulillah hasilnya terbaik. Lembut sangat. Lagi sedap dimakan selepas seharian hibernate kat dalam peti sejuk tu.  Cuma rasanya tak macam wedding gift tu. Ada sikit kurang. Mungkin sebab akak cuma guna buttercup dalam tin tu.. Kalau guna at least Anchor apatah lagi Golden Churn mesti lebih rasa sedap.. hehe. Next time akak  nak buat guna bahan2 paling mahal.. ada tak beza rasa yang ketara.

Resipi akak merujuk pada blog Coretan Dari Dapur .  Memang sangat mudah kaedah membuatnya. Jom tengok!


KEK MENTEGA (BUTTER CAKE)

Bahan2:

Bahan A

250 g mentega (sebaiknya guna pure butter untuk rasa lebih enak)
170 gram gula kaster
210 gram tepung superfine * (boleh guna tepung gandum)
1 sudu teh baking powder *
1 sudu teh esen vanilla

Bahan B

5 biji telur (saya guna 4 biji saja, saiz A)

Cara2:

1) Ayak tepung dan baking powder *
2) Pukul sebentar mentega dan gula kaster hingga bergaul, kemudian masukkan kesemua bahan2 A yang lain. Pukul sehingga sebati.
3) Masukkan bahan B (telur) perlahan-lahan sambil memutar.
4) Putar selama 4-5 minit sehingga adunan kelihatan lembut dan tidak berbintil2.
5) Tuang ke dalam acuan 8 1/2 inci dan bakar dengan suhu 160C selama 1 jam. Pastikan oven dipanaskan terlebih dahulu sebelum adunan kek dimasukkan.

** Tips dari Bebop (pemilik asal resipi), untuk mendapatkan kek butter yang cantik dan elok, JANGAN memutar kek terlalu lama.




September 21, 2014

IKLAN

ALHAMDULILLAH....
Itulah ucapan yang paling akak nak tulis di sini. Sebabnya, sejak bermula cuti sekolah, akak rasa hilang dari radar... Mula2 bercuti 3 hari ke KL, nak menjenguk 'kampung' yang dah ditinggalkan forever tu. Tujuan utama nak ke Zoo Negara, bawa Fawwaz tengok PANDA. Duduk di hotel yg tak provide wifi dalam bilik pulak tu. Mujur servis yang lain bagus.. Ambik juga sebab nak dekat dengan LRT. Nak bawa Fawwaz naik LRT sambil mak teringin nak cari tudung kat Jalan TAR. Sudahnya, sampai balik mak nganga tak dapat pergi ke Jalan TAR tu sebab tak sempat.

Balik ke Jitra, keesokan paginya wifi rumah ni pulak meragam. Takda signal dari hari Rabu sampai pagi tadi (Ahad). Memang ujian jugalah. Sebab seisi rumah ni pengguna tegar internet. Terpaksalah mak cari balik game Supercow.. sesekali main sama. hehehh.. Telefon pun sama kaput.. lebih dulu dari internet.

Hilangnya kuasa internet tu beberapa jam lepas akak pos gambar promosi kat FB. Yolah kan.. ahkak 'peghok' sket sebab masuk majalah. Makcik kan baker yang sepi2, suam2.. tak macam org lain. Dapat lak rezeki iklan percuma di Majalah RASA. Terima kasih lah kepada Pn Nurul Azwa yg menghubungi akak dan pihak yang berkenaan. Tak dinafikan, kerosakan yang melanda secara tiba2 tu agak menjatuhkan motivasi akak sebentar. Namun, akak rasa itulah petanda Allah suruh akak bersabar, berusaha dan sentiasa bermuhasabah...

Harap maklum.. kek yg 2 tier tu bukan akak punya ye.. Tu baker hat sorang lagi punye.. Setakat ni akak mengelat sepenuh perasaan bila diminta buat kek bertingkek2 ni.. :P

September 12, 2014

Nasi Goreng, breakfast dan kisah kucing

Pagi Jumaat.. relax sebab hari cuti.. dan bermulalah cuti sekolah minggu ni..

Pagi-pagi dah menggoreng nasi.. menu yang paling simple dan tidak membazir. Sebab guna nasi semalam yang masih elok.. Bab2 makan ni akak idakle menjaga macam sesetengah orang yang tak makan nasi sejuk dan yg sewaktu. Tak elok untuk badan katanya.. Tapi akak sayang nasi kalau tak abis. Nak bagi ayam makan, takde pulak.. Kucing2 pagi2 dah berebut cereals warna warni depa. Tu semua kucing gelandangan aka kucing liar semuanya. Yang jantan lembik asik mengalah, yang betina lak superpower.. semua dibolot walau baru je menetap kat rumah ni.

Bab bagi makan takpe.. bab suka nak bermanja gesel2 kat kaki akak, memang le geliii... tak suka. Selalulah jugak kena marah. Tapi masih dia mengeow dan nak bermanja. Agaknya ibarat garang mak, anak tak takut punn... dia tau mak garang tp baik.. huhu. Tak tahan kalau dia menjatuhkan badan kat kaki yang nak melangkah ni.. memang le kena! Jangan marah ye pencinta meow... hihihi.

Berbalik kisah nasi goreng, akak tak suka yang macam2. Simple je, tumbuk bawang, cili dan udang kering.. tumis sampai garing, pastu masuk nasi. Ye laa... letakle garam. Nak sedap macam arwah nenek buat, kena letak serbuk perasa.. Takmo pak aji, akak simpan cap adabi.. secubit je pun. Itu utk khas nasi goreng je.. lain2 masakan dilarang guna serbuk perasa. Dulu masa kecik akak memang suka buat menu ngeri.. Diam2 masuk dapur cari nasi, tuang air masak, bubuh pak aji dan kicap sikit.. perghh, macam sup nasi! Hahaha.. kalau sekarang Fawwaz buat lagu tu, mesti mak dia jerit..



Selamat sudah menu nasi pagi ni.. Untuk tengahari nampaknya makan kudapan je. Lagipun en abe takde.. yahuu  ;)


September 11, 2014

JALAN JALAN PADANG BESAR

Sempena cuti UPSR yg cuma sehari untuk Ahmad Fawwaz, abi ajak jalan2 PERLIS.. Mak pun terus terfikir akan Padang Besar yang belum pernah jejak lagi walau dah makan tahun duduk di sini. En Abi sebenarnya nak bawa kami pi Taman Ulaq dan lain2. Aiyakkk.. dengar ular je, nanak nanak mak cakap... Dahlah masa tu hujan sedari pagi.

So, atas cadangan mak, dapat juga pi Padang Besar. Ajak kak ipar sekali.. Sebab sejuk, terus terbayang tomyam dalam kelapa yang kak ipar duk sebut2 sedaaapp... hihi.  Ni lah dianya.. Alhamdulillah memang sedap. Pedas pun tak mencengkam.. Memang dah lama tak makan tomyam sedap lagi pedas sejak duduk sini. Dulu masa duk KL akak selalu beli kat dalam area flat Sri Rakyat di Bukit Jalil. Memang boleh berasap2 telinga... tapi nak lagi dan lagi.

Harga tomyam campur macam ni RM20. Ada extra kuah dia letak dalam mangkuk lain.



Order ni je.. selain steamed siakap yg belum sampai masa gambar diambil dan 2 set roti bakar untuk Fawwaz. Lepas tu akak order cendol yang tak menepati rasa... huhu

Nak makan sedap kena pilih hat kerusi meja hijau.. pesan kak ipar ku.. :D


Bersama tuaian.. hehehe.
Gumbira dia...


September 7, 2014

Soto di Jitra

Malam ni sejuk sikit... sebab tadi hujan. Walau tak lebat sangat, tapi terasa sejuknya.. Browsing file gambar kat laptop ni ternampak gambar mihun sup buat haritu.. Sedapnya sejuk2 hirup sup.. Sebenarnya ada lagi kuah soto membeku kat freezer akak.  Bila teringin, defrost dan letakle apa yang ada.. Tapi kalau takde gang, semua pun jadi tak best.. Tak taulah berapa lama sup beku tu nak bertapa dalam freezer. Kot nak tunggu raya haji nanti.. hahaha!



September 6, 2014

KEK OPERA... membuat aku gembira




Minggu ni akak ambik 2 tempahan saja.. Dua-dua kek yang agak mencabar bagi akak yg 'pro' sangat ni kenn... hahaha! Gelak tak malu..

Tapi, yang satu dah di 'cancel' disebabkan akak tak boleh nak hantar pada waktu yg diminta. Walau kemudian order balik pada hari sepatutnya kek dihantar, akak tak boleh terima.. Sebab akak dah terikat dengan kek opera. Lama tak buat untuk customer, tu yang kena concentrate sikit. Kalau untuk sendiri makan, takda hal punya... Tapi yg sebetulnya, kalau buat untuk makan sendiri yang dibuat secara cincai, hasilnya selalu lebih baik.. sorry la ye customer ku!

Pelan-pelan akak buat dari semalam. Hampir nak kecewa, tapi berjaya jugak rupanya. Lately prestasi baking akak ni tak berapa baik. Akak syak, oven tu pun ada sikit bengor.. Sebab biasanya kalau takat kek lapis span ni cuma ambik masa 15 minit or less. Tapi semalam, untuk kek yg rupanya elok, dalam 20 minit. Ini agaknya jangkitan dari masa buat bingkang ubi dan kek sarang semut. Tapi kann... talking about sarang semut tu, sekarang ni baru akak dapat rasa betapa enaknya kek itu. Cara nak buat dia enak, simpan dulu dalam peti sejuk 2-3-4 hari. Lepas tu baru keluarkan dan tunggu kurang sejuknya. Barulah rasa kek tu lembab lembut dan meluncur di tekak... glupp.

OKlah.. cerita balik pasal KEK OPERA. Akak baru siapkan tadi. Step by step tau.. sebab nak potong kena dengan teliti kalau tak mau comot. Ganache pula kena betul-betul stabil, sejuk... Baru letak hiasan lain. Hari ni akak buat deco berdasarkan permintaan customer. Tapi tangan akak sedikit ketar, jadi adalah part yang tak cantik dipandangan mata akak. Camna pun, akak dah tunjuk kat dia dan harap2 Pn Beronetta (spt nama di profile whatsApp) sanggup menerimanya.. :D




Sebelum ambil sempat request utk ditulis "happy birthday Hafiy Ikhwan"..

Terima kasih kepada Sis Beronetta, orang Sabah yang sangat manis.. Semoga menepati citarasa  :)