Showing posts with label Mee. Show all posts
Showing posts with label Mee. Show all posts

October 5, 2016

Mee Kicap Yang Sedap


Menu beberapa hari lepas.. Mencuba resipi yang disarankan oleh adik bongsu.

Ini juga merupakan pertama kali akak makan mee kicap yang khabarnya popular di Ipoh. Iyalah.. bila akak google, memang kebanyakan mee kicap serupa ini boleh didapati di Ipoh. Walau akak ni selalu juga ke sana, tak pernah pula mencuba. Biasa ke Ipoh sebab en abe dulu bersekolah di STAR. Tau2 jelah semangat STAROBA nih.. lain macam tau! hahaha..

Mengikut pencarian akak di google, mee kicap ada 2 penampilan. Ada yang jenis kering dimana kicap digaul terus dengan mee (macam mee kering) dan jenis basah macam yang akak buat ni. Yang basah ni lebih kepada yang dipanggil Mee Kicap Ipoh.

OKlah.. Resipi ni diambil dari Blog Masam Manis yg sohor itu. Rasanya sedap juga.. Kenalah dengan tekak ni. So, bertambahlah menu mudah akak kot2 ada tetamu nak datang dengan tetiba. Maklumlah, sekarang ni akak part2 masak lauk pun macam fail jer..huhuhu.

Ni mee kicap + sup keret hahaha

MEE KICAP
Untuk hidangan 2 orang
Rujukan : Blog Masam Manis (Azlita)

Mee Kuning
Taugeh

(I) Kuah:

Bahan2:
2 ulas bawang putih - racik halus
1 sudu besar minyak masak
1 inci halia - ditumbuk
3 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil kicap pekat (sy guna kicap mudim, letak lebih sikit..)
3 sudu besar sos tiram
1 sk serbuk pati ikan bilis  (sy guna 1/3 kiub)
Sedikit lada sulah
Garam dan gula secukup rasa (rasa dulu baru letak garam...)
* Minyak bijan

Cara2:

1) Panaskan minyak dan goreng bawang putih sehingga garing (keperangan). Angkat bawang dan ketepikan.
2) Menggunakan minyak gorengan bawang putih, tumis halia hingga naik bau
3) Masukkan kicap manis, sos tiram, air dan kicap pekat. Biarkan mendidih
4) Masukkan lada sulah dan pati ikan bilis.
5) Perasakan dengan garam gula
6) Renih hingga pekat.

Mee ini biasa dihidang bersama sup bebola atau kek ikan..


(II) Sup Bebola & Kek Ikan

Bahan2:
1 ulas bawang merah - tumbuk
1 ulas bawang putih - tumbuk
3 cawan air
1 sk pati ikan bilis
Fish cake dan fish ball
Sedikit lada sulah
Garam secukup rasa

Cara2:
Tumis bawang sampai naik bau.
Kemudian masukkan air dan biarkan mendidih
Masukkan fishball dan fish cake.
Perasakan dengan garam dan lada sulah. Biar hingga mendidih.


Penyediaan:

Celur mee dan tauge (akak suka tauge mentah je). Toskan.
Letak mee dan tauge dalam pinggan.
Tuangkan kuah kicap.
Tabur dengan bawang putih yang diasingkan tadi, dan daun bawang.
Boleh juga ditambah hirisan cili padi atau sambal ikut selera kita.
Mee ni dimakan bersama dengan sup fish ball.

* Saya tambah beberapa titis minyak bijan untuk menambahkan keenakannya semasa menggaul mee dengan kuah kicap. Boleh juga titiskan minyak bijan tersebut semasa memasak kuah kicap.


Terima kasih kepada che 'Iza (pemilik asal resipi) dan Ita.. Sedap!!


August 11, 2016

MEE JAWA SEDAP DAN MUDAH


Hari rajin akak la kot..

Sebab pepagi hari dah blend itu ini untuk dibuat sarapan. Sesuatu yang rare buat diri akak iaitu MEE JAWA. Walau akak jawa, tak pernah la pulak buat mee jawa from a scratch. Pernah buat beberapa tahun lepas, guna paste segera je yang akak beli di kedai frozen.. eheheh.

Tapi sebenarnya, perasaan mengidam nak makan mee jawa air tangan sendiri tu dah lama. Cuma seru datang lambat sikit. Bila dah datang tu, memang laju jer.. Dalam 1 jam dah siap semuanya. Tapi adalah yg dah dibuat malam sebelum tu spt merebus tulang. Saja buat awal sebab taknak kalut walau guna pressure cooker hanya ambil masa 1/2 jam untuk betul2 lembut dagingnya.

Meh check cara akak buat. Akak follow resipi dari FB. Agak simple.. Cuma adalah sikit2 akak tambah bahan tu.. derhaka sikit takpa jgn suka2 nak tukar macam2. Yang pasti, kuah tu selepas perangat beberapa kali baru terasa lebih umph! Walaupun umphh, benda tak habis terpaksa akak hibernate kan dia dalam freezer jugak. Penuh woi freezer akak tu sebab kebelakangan ni rajin benor memasak itu dan ini.


RESIPI MEE JAWA YANG MUDAH DAN RINGKAS

Bahan2:

1 peket mee kuning
500g daging/tulang - rebus dan ambil airnya, daging dipotong nipis
Tauge - celur sebentar
Cili merah/hijau - hiris
Daun bawang/sup - hiris
Tauhu - goreng dan potong kecil
Bawang goreng
Limau nipis/kasturi


Bahan2 KUAH:

500g keledek - rebus dan kisar
5 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih  *
3 batang serai *
2cm halia *
2 cm lengkuas *
100g udang kering (saya campur dengan udang geragau) *
2 sudu besar cili kisar
3 sudu besar serbuk kari daging
Air rebusan tulang/daging secukupnya
Gula secukup rasa (saya tambah gula melaka/merah)
Garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis

Cara2 membuat kuah:

1) Kisar bahan-bahan bertanda (*)
2) Panaskan minyak dan tumis bahan kisar (*), cili kisar dan serbuk kari sehingga garing
3) Masukkan keledek kisar dan air rebusan tulang/daging
4) Perasakan dengan garam dan gula.
5) Biarkan hingga mendidih dan renih sebentar sehingga mencapai kepekatan yang diperlukan
6) Hidangkan bersama mee dan bahan2 hiasan di atas



P/S: Ini sebenarnya kejadian minggu lepas.. Dah lama tulis tapi bab2 posting ni meme slow sangat laa.. huhuhu!

August 8, 2015

Mihun Sup Bebola Daging


Kejadian semalam..
Teringat pesanan Ustaz Amri dari Jakim.. jangan panggil BAKSO kerana dengan panggilan nama je yg halal boleh bertukar ke haram. Sebabnya asal usul perkataan bakso ialah bebola daging bxxx. Macam bak kuteh tuuu... huhuhi. Tak caya cuba baca wikipedia pasal bakso. Selebihnya terpulang kepada diri sendiri samada nak guna idak sebab sekian lama pun itu panggilannya di negara asal..

Resipi sup ni memang sempoi baq ang. Sebab bebola daging tu akak guna hat readymade saja. Tak cukup rajin nak memproses daging menjadi bola.. huuu. Makan masa tengah hujan lak tu. Akak buat ni nak jamu ipar2 dan anak buah yang datang petang semalam. Hidangan lain adalah roti jala, kari ayam dan kek pisang.

Jom check resipi akak..



MEE SUP BEBOLA DAGING

Bahan2:

Bebola daging (meat ball) secukupnya. (Saya guna yg dalam peket sahaja. Untuk lebih 'feel' boleh buat sendiri. Search saja resipinya ya.. ;) )
Bihun - celur
Tauge
Daun salad
Bawang goreng
Daun sup & bawang

SUP

Semangkuk tulang rusuk lembu (anggaran 500g) untuk dibuat stok
1/2 labu bawang besar - dihiris halus. Boleh juga guna bawang merah kecil
3 ulas bawang putih *
1 inci halia *
1 sudu kecil lada sulah *
1 batang serai - ketuk
Air secukupnya
Garam
Minyak untuk menumis
Optional - saya tambah 1/4 kiub ayam adabi ke dalam sup dan letak 2 biji kurma semasa merebus tulang supaya cepat lembut

Cara2:

1. Rebus tulang lembu dengan air secukupnya untuk dibuat stok.
2. Tumbuk bahan bertanda *
3. Tumis bawang sehingga layu. Kemudian masukkan bahan tumbuk iaitu halia dan bawang putih diikuti serai. Tumis sehingga naik bau. Saya masukkan juga sedikit lada sulah masa menumis ni..
4. Tuang air stok. Masukkan lada sulah ikut citarasa, kiub dan garam secukupnya. Kalau saya lebih suka letak garam waktu dah nak matikan api.
5. Masukkan bebola daging dan biarkan sup sehingga mendidih dan bebola terapung serta mengembang sedikit, baru matikan api.
6. Taburkan daun sup dan bawang goreng.

SAMBAL KICAP
Untuk lebih sedap, saya tumiskan sambal kicap terlebih dahulu.

Bahan2:

Segenggam cili padi (ikut nak pedas mana)
2 ulas bawang putih
1 labu bawang besar - hiris, goreng dan kisar (boleh juga guna bawang merah/kecil)
Gula secukup rasa
Kicap manis secukupnya
Sedikit air
Sedikit minyak untuk menumis

Cara2:
Tumbuk/kisar cili dan bawang putih, seterusnya ditumis sehingga terbit minyak.
Tuangkan kicap dan sedikit air.
Masukkan gula dan bawang goreng yang telah ditumbuk/kisar.
Boleh juga tambahkan sedikit asam jika suka atau sesudu cuka.
Masak sehingga agak pekat.



*********************************************

GAMBAQ PERISTIWA.. ehehh

Geng umrah kami.. :)





August 7, 2015

Mee Kari Sempoi Cik Siti


Lama tak buat mee kari.. Atau senang cakap memang tak pernah buat pun sejak berlegar2 di bumi Malaya nih.. sebab beli lagi senang setakat nak makan sendiri atau berdua. Kami pula jenis tak berapa suka mengulang makan terutama makanan bersantan ni.

Tapi hari tu tetiba teringin nak buat sendiri. Bila adik yang duduk di Perlis beritahu nak datang beraya, terus akak proceed. Cumanya sebab panggilan tu dibuat masa cuti sekolah dan bukan turn abe di rumah ni, susahla nak keluar ke market atau yang sewaktu. Dapat ke kedai runcit dan pasar tani berdekatan dah kira untuk. Cumanya agak mengecewakan sebab tak semua yang dicari berhasil.

Apa pun jua yang melanda, mee kari tetap menjadi. Bahan utama ikut apa yang ada kat dalam freezer atas tuh. Ada udang sikit dan ayam kira dah cukup baik la tu.. Yang akak cari tak dapat tu ialah kerang, fish cake, fish ball dan tauhu kering huu..

Kejadiannya boleh tahan laa... walau kira first time. Akak campak2 je. Tapi nampak abe dan adik makan sedapp je haritu.. dan selepas hampir seminggu akak menikmati lagi tadi dengan bahan2 dan kuah yang tersimpan rapi kat refrigerator, terasa akan umphh nya. Yakinlah akak, boleh buat lagi sekali akan datang. Sapa lagi nak puji kalau bukan diri sendiri.



MEE KARI CIK SITI

Bahan2:

I. Kuah.

Ayam secukupnya - bahagian bertulang
Udang secukupnya
Stok udang (rebus kulit dan kepala udang dan ambil airnya)
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1 sudu besar cili kisar
1 inci halia
1 batang serai - ketuk
Secubit halba
1 peket serbuk kari Babas
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 keping asam gelugur
1 sudu kerisik (opt)
Daun kari
Santan secukupnya
Garam dan gula
Minyak untuk menumis - guna minyak yang banyak

Cara2:

1. Kisar bawang putih, bawang merah dan halia
2. Panaskan minyak dan masukkan kayu manis, bunga lawang serta halba.
3. Masukkan pula bahan kisar (termasuk cili) dan tumis hingga layu dan sedikit garing.
4. Masukkan serbuk kari serta daun kari. Tumis hingga terbit minyak baru tuangkan sedikit air. (Minyak sebaiknya banyak supaya bahan benar2 masak dan garing. Bila kuah siap nanti, boleh dibuang minyak tersebut.)
5. Masukkan ayam dan masak sehingga lembut.
6. Masukkan udang. Kacau rata dan tuangkan stok udang.
7. Masukkan santan, asam keping, garam dan sedikit gula. Bila mendidih masukkan kerisik (jika suka). Biarkan seketika dan matikan api.

Nota - sebaiknya garam dimasukkan terakhir sekali atau selepas api dimatikan untuk mengekalkan khasiatnya.


II - Bahan utama dan aksesori

Mee basah/Bihun - celur
Tauge, salad, sawi, kacang panjang, telur rebus, cili hiris, daun sup, bawang goreng, tauhu basah (digoreng)/ kering, kerang, fish cake, fish ball, dll


November 16, 2013

Mee Jawa Segera

Sebelum tidur, akak nak share gambar je... hehehe! Gambar mee jawa atau mee rebus jawa hasil dari kuah instant yang akak beli kat JM Frozen haritu. Sedap jugaklah hasilnya.. Tapi kita yang masak ni kena adjust sikit2.. derhaka sikit pada aturan yg tertulis tu.


Lepas ni kalau teringin boleh beli lagi. Hari tu dah test yang mee bandung Muar, tak berapa menarik macam yg ni.. Pandai jelah akak ni kan. Kalau tere sangat, buat le senirik.. kannn :P



Tapi.... tak taulah selain kat Jitra atau Kedah ni, kat mana boleh dapat kuah tu..

March 28, 2012

Char Kuey Teow

Tak tahan sangat tengok char kuey teow kawan akak si Atie yg tayang kat fb kelmarin... dengan kuahnya yg membanjiri kuey teow tu.. pergh! memang aku tergoda.. aku tergoda terkeciwa..  Maka pagi ni pun akak carilah bahan2 tu kat supermarket.  Tak kiralah, walau akak sorang je yg nak makan. Hehe.. bila en abe ada, tidakle pulak datang kerajinan tu.  Asyik bagi dia menu tak best je! Ya ampunn..

Resipi pun seperti yg di 'describe' oleh Atie tu.. Cuma kuantiti bahan tu kenalah agak2 ikut isirumah, ye tak? Simple je.. tp sedap.  Rasa dah setaraf dengan CKT Pak Din yg selalu saya beli dulu.. (Sekarang dah tak beli sebab timing dia selalu tak match dgn akak).


CHAR KUEY TEOW

Bahan2 (hidangan 1-2 orang) :

1/3 paket kuey teow - cuci dulu
2 ulas bawang putih
1-2 ulas bawang merah (ikut saiz)
2 sudu besar cili kisar
Cili padi (opt)
Udang segar - ikut citarasa nak byk mana
3 tangkai kuchai
Segenggam tauge
1 butir telur
Kicap pekat/manis - saya guna kicap manis
Air secukupnya
Garam dan gula (ikut citarasa)
Serbuk perasa (opt utk yg tak suka)
Minyak utk menumis

Cara2:

1)  Tumis bawang putih dan bawang merah yang telah dikisar atau tumbuk, juga cili kisar.  Tumis hingga wangi.
2)  Tuang air dan kicap dan biarkan sehingga menggelegak. Air tu agak2 la tenggelam dan basah kuey teow tu.
3)  Masukkan udang, kucai dan kuey teow.  Kacau seketika.
4)  Pecahkan telur ke dalamnya untuk memekatkan.  Kacau rata.  Perasakan dengan garam, gula dan perasa.  (saya masukkan lebih kurang 1 sb gula dan 1 sudu kecil penuh garam)
5)  Akhir sekali masukkan tauge dan matikan api..

November 19, 2011

Bihun Kari

Tetiba badan ni rasa lemah... macam nak demam.  Tapi tak kot... mungkin terlalu risaukan sesuatu.  Lepas tu, baru je baring dan nak 'belayar' kejap, dah si kecik ni mengejutkan saya. Minta itulah inilah..  Sebab tulah, penat macamana pun, kalau tak malam, susah mak ni nak tidur.  Malam pun, tak tentu tidur tu boleh lena... selalu tu, start tidur kat bilik atas tilam empuk, ending dari pukul 12 mlm kat atas lantai depan TV ni...

Sebenarnya saya baru balik dari Ansar Gallery.. Sebuah mall yg menjual barang2 boleh tahan murah, esp dari China (tu sebab murah... :D).  Tujuan utama nak cari perfume/EDT yg dikirim oleh pakcik.  Selain susah dia nak cari kat Sabak Bernam (bukan kat KL ye... heheh), kat Ansar tu murah sikit.  Mungkin sebab tax free.. EDT tu ialah Azzaro Chrome yg cuma berharga BD13+ utk botol 100ml.  Lebih kurang RM108.. Lepas tu nak cari silicone mould lagi sebiji, tapi takde la pulak yg besar tu.
 
EH! Sebenarnya akak nak cerita pasal menu sarapan pagi ni.. bukan nak membebel pasal Ansar Gallery.  Pagi ni memang kehabisan idea nak breakfast apa.  Takmo lah makan roti bakar je... Mujur ada sikit bihun.. yg memang nak dilenyapkan dari pandangan.  Kalau tak, tak abis2 nak kemas kabinet tu..  So, itulah citernya... hehehee...  Guna bahan2 yg ada je!

Bihun Kari Simple
(Hidangan utk 2 orang)

Bahan2:

Bihun - celur
Sawi - celur
Daun parsley - racik
Bawang goreng
Sambal tumis atau cili kicap - ikut citarasa
Limau nipis/lemon

Untuk Kuah:

Udang - jumlah dan saiznya ikut citarasa 
1 biji telur
1 labu bawang besar - kisar (bawang kecik pun OK, cuma minggu ni tak beli..:D)
2 ulas bawang putih - kisar
1/2 inci halia - kisar
3 sudu rempah kari ikan
Santan secukupnya
1 keping asam gelugur
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara2 (kuah):

1)  Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak dan naik baunya.  
2)  Masukkan rempah kari, kacau2 seketika dan tuang sedikit air supaya tak garing/kering.  Kacau2 kejap..
3)  Masukkan santan dan tunggu sampai mendidih.  Masukkan udang diikuti telur yang dipecahkan terus ke dalam periuk.  Kacau dan biarkan mendidih lagi sambil mengacau sedikit agar tak pecah santan.  Masukkan asam keping dan perasakan garamnya.
4)  Angkat dan makan dengan bahan2 celur...

November 11, 2011

Mee Udang Perantau

Kalau saya ada sebut "perantau" tu maknanya adolah yg tak lengkap hehehe... Ini kisah minggu lepas.  Tiba2 teringin pulak nak makan mee udang di tengahari.  Masa tengah kopek kepala dan kulit udang, duk terbayang2 mee udang banjir.  Alangkah enaknya ya.. padahal bila balik M'sia tak pernah teringin nak makan.

Yang buat tak lengkap tu sebab mee nya yg takde.  Mee kuning tu... Macam biasa, transform spaghetti menjadi mee.  Boleh laaa.... huhuhu!   Saya cnp resipi che'iza kat my resipi tu je lah... walau saya buat ikut sukahati je :D


Mee Udang
Rujukan : Che'iza @ myresipi

Bahan2:

1 kg mee kuning (saya guna spaghetti)
300g udang basah - saya ikut suka nak banyak mana :)
* 4 ulas bawang merah - saya guna bawang besar
* 3 ulas bawang putih
* 1 sudu besar udang kering
* 1/2 inci halia
1 sb petis - saya tak letak sbb takda
3 sb sos tomato - saya letak lebih
1 sb sos cili
4 sudu cili kisar
Stok udang - spt di bawah
2 biji kentang lecek (kalau guna keledek lagi sedap) - utk memekatkan
Gula
Garam

Hiasan saya : sawi, lettuce & bawang goreng

Cara2:

1)  Rebus udang sampai masak... tapis keluar udangnya.  Air rebusan jangan dibuang... (Sebagai tambahan, saya rebus kulit dan kepala udang, kisar dan tapis... ambil airnya)
2)  Kisar bahan bertanda *.. tumis kesemua bahan ini bersama cili kisar
3)  Masukkan air rebusan udang dan kulit udang tadi.. biarkan mendidih.  Lepas tu masukkan sos tomato, sos cili dan petis.  Renihkan kuah, lagi lama lagi sedap.
4)  Masukkan garam dan gula, juga kentang yg dilecek... biarkan sampai agak pekat... boleh tuang atas mee :D
5)  Untuk bahan hiasan boleh adjust sendiri ye..

November 10, 2011

Bihun Singapore


Selama lebih 2 tahun duduk di S'pore, rasanya macam tak pernah jumpa bihun S'pore.. yg color putih.  Yang ada mee siam color merah pucat, macam bihun goreng kita yg biasa tu... hehe!  Tapi kalau kita gi Thai pun, tak tentu jumpa mee siam mcm yg ada kat S'pore kan... Nanti akan datang kalau gi Siam, nak cari kot2 ada.. 

Ini hidangan sarapan pagi tadi.  Sejak lepas raya macam kehabisan modal nak sarap apa.  Macam malas je nak ke dapur.  Kalaulah kat kampung ku yg indah permai bernama Sg Air Tawar tu, dah tentu tak menyala dapur gas tu melainkan untuk masak air.  Bila tgh malas2 nih.. Pegi je kedai mamak Tajuddin tu, macam2 adaaa.... Sedap dan murah!  Nasi lemak 50 sen beb!  Tpt u all ada tak? hehehe...

Sajalah nak post juga resipinya kat sini... sebab saya memang jarang masak bihun sebegini.  Macam tak berapa jalan.. Abe kita kan peminat pedas.. Dapat pulak haritu beli cili api, tak ikut balik pulak benda tuu... mmm!

Bahan2:

1/2 peket bihun - rendam atau celur
2 ulas bawang putih (yg besar tu..) - tumbuk
1 sudu serbuk lada hitam
Udang basah - suka hati nak banyak mana
Sayuran - yg ada carrot & kobis je
1 sudu cuka
Sedikit pati stok ayam
Garam
Minyak
p/s: nak sedap lg boleh letak isi ayam, fish cake, dll..

Cara2:

1)  Tumis bawang putih dan lada hitam hingga naik bau.  Tuang cuka.
2)  Masukkan udang dan kacau2 sekejap
3)  Masukkan pula bihun dan sayuran.  Kacau sebati... letak air sikit (esp kalau bihun yg direndam je), dan tutup.  Api jangan besar sangat
4) Perasakan garam.. saya letak juga gula sikit


Makan mihun nak kena ada kopok goreng... baru best!

August 15, 2011

Mee Kari Perantau

Perantau la sangat kan... dah teringin sangat mee kari.  Banyak bahan penting pulak takde.  Tapi buatla jugak, asal ada rasa kari hehehe... Saya, kalau mee kari tu suka yang ada kerang & fish cake... Tapi ni dah takde, hantam sajalah.. tapi best la jugak kan.. :D

Paling penting, mee tu takde.  Malaslah kita nak oder2.. Sebenarnya ada juga org M'sia buat, sekilo BD1.. nak kena oder & ambil sendiri la... Selalunya, saya transform je spaghetti tu jadi mee.  Kali ni guna angle hair, halus sikit..  Rebus kat air yg dicampur serbuk kunyit dan minyak.  Rebus sampai lembut... Jadilah mee kuning... ahaks!
Bahan2:

MEE
Angle hair atau spaghetti - rebus dengan air + kunyit + minyak dan toskan

KUAH
3 ulas bawang merah *
2 ulas bawang putih *
1 labu bawang besar *
1 inci halia *
1/2 inci lengkuas *
1 batang serai - titik
2 sudu cili kisar
3 sudu serbuk kari daging
1 sudu udang kering - rendam dan tumbuk
Isi ayam dan tulang2nya
Santan secukupnya
1 keping asam gelugor
Daun kari

HIASAN
Sayur2an - sawi, tauge, carrot, tomato
Chicken meatball - goreng dgn sedikit minyak
Daun sup/parsley & daun bawang
Bawang Goreng
Cili padi/hijau potong atau sambal tumis



Cara2:

KUAH
1)  Kisar bahan2 bertanda *.  Kemudian tumis dengan minyak sampai layu atau terbit minyak. (kadang2 kalau kisar dengan air, bila menumis minyak tu hilang... pandai2 lah ye huhu)
2)  Masukkan cili kisar dan udang kering... kacau2 sampai hilang bau cili tu..
3)  Masuk pula rempah kari.. kacau sebentar dan tuang sedikit air.
4)  Masukkan ayam dan ratakan rempahnya pada ayam... biarkan sebentar sampai hampir masak.  Haritu saya bubuh sekali kentang dipotong kecil..
5)  Bila ayam dah agak masak dan kentang empuk, tuang santan... masukkan asam keping dan tomato.  Tunggu sampai mendidih dan sekali sekala kacau supaya tak pecah lemak sgt..  Saya suka tunggu lama2 supaya sebati rasa kari tu...

June 18, 2011

Mihun Sup Sayur..

Mihun sup yg hanya dipenuhi sayur2an untuk keluargaku yg ala2 diet... bukan diet nak kurus, tapi menjaga kesihatan gitu!  En hubby bila ditanya nak makan apa, cuma cakap "selain nasi"... Paling senang menu ni lah.. dapat pulak pagi tu baru dapat se'pack' mihun kat Geant.. Kadang2 memang susah nak dapat mihun kat sini.. Haritu pun lupa nak bawa siap2 dari M'sia macam selalu... makcik memang aci semua lupa la!!! >_<

Cara saya buat mihun sup kat SINI... Ala.. budak2 duk playpen tu pun pandai buat ni hehehe...

Abe suka makan dgn cili potong....

Saya pula suka makan dengan sambal kicap...

Next entry ialah Blended Orange Cake... inilah deco kek paling kelakau dan horrible!  Sebenarnya nak buat frosting cheese cream je... sekali akak dah terbeli silap cheese.  Dgn penuh tak rela buat buttercream.. nak father's day sangat kan....

May 30, 2011

Mee Goreng Basah

Sarapan pagi hari Sabtu lepas.. Air tangan makcikku yg masak apa pun sodap!!  Walau bahan ala kadar je.. :)

Bahan2 utk 10 orang:

2 paket mee kuning
4 ulas bawang putih - kisar
2 labu bawang besar - kisar
2 senduk cili kering kisar (ikut tahap kepedasan cili)
1 cekak sawi
1/4 ekor ayam dipotong kecil2
Gula
Garam secukup rasa
Kicap manis
Minyak untuk menumis

Cara2 :

1)  Basuh mee untuk mengurangkan rasa ubat dan pewarna
2)  Panaskan minyak dan tumis bahan kisar.  
3)  Masukkan ayam dan tutup (kalau guna bawang besar dan dikisar akan lambat atau tidak garing)
4)  Masukkan kesemua bahan lain dan kacau sebati mee dan sayur dengan semua bahan perasa.
5)  Angkat bila masak.. dan boleh dihiaskan mengikut citarasa.

Nota:  bahan2 adalah bergantung kepada citarasa masing2.. yang penting keseimbangan rasa garam, gula dan kicap.  Jika dah masukkan banyak kicap, pastikan garam tu cuma sedikit atau tidak perlu langsung.


April 29, 2011

Mihun Sup


Mihun ke bihun?  Haha.. asyik meng'confuse'kan diri... Hari ni kawan2 baik kita yakni x-officemates masa kat CSM (yg sekarang dah separate sana sini) nak mai rumah..  Tetiba gabra nak masakkan apa.. Yelah, saya sebenarnya tak pernah ajak kekawan datang rumah.  Bukan kekedut.. cuma segann.... hahaha! Eh, segan malu, bukan segan pemalas tau..  Tapi dek sebab terlalu rindu dan takde peluang nak jumpa dgn keadaanku ini, ku ajak juga datang.. :P

Cheese tart & red velvet yg masih belum pass dah siap dalam fridge... So, nak elakkan muak kita buatkan je mihun sup.  Boleh le makan suma sambil borak sakan... bestt nyeee... rindu sesangat nak gosip!  Dah pendam selama 4 thn tau!  Sorang je yg susah jumpa sebab dia tgh up kan diri kat bumi Bradford.  Lagipun dia dah lama tinggalkan kami sebelum CSM ditubuhkan... namun kenangan lama kat co "M" masih segar di ingatan.. All the best to you Maddy and the rest!!  Sup ku ini simple je... takde susah2..

Bahan2 Sup (untuk 5 org):

3 ulas bawang putih - tumbuk
3 ulas bawang merah - tumbuk
4 cm halia - tumbuk
1 kulit kayu manis
2 bunga lawang
4 cengkih
1/2 ekor ayam
Rempah sup secukupnya (jenis serbuk)
1 sk rempah kurma
1 kiub ayam
Lada sulah
Garam
Air secukupnya
Minyak utk menumis
Hiasan : Sawi, tauge, daun sup, daun bawang, fish cake, bawang goreng

Cara2:

1)  Tumis bahan tumis bahan tumbuk, kayu manis, bunga lawang dan cengkis sampai naik bau dan bawang layu
2)  Masukkan ayam dan kacau rata sampai warna bertukar pucat
3)  Masukkan air secukupnya dan biarkan hingga mendidih
4)  Masukkan rempah sup secukupnya (ikut citarasa nak rupa camna) dan rempah kurma
5)  Masukkan juga kiub ayam dan perisakan dengan garam dan lada sulah.  Renih seketika.
6)  Tabur bawang goreng dan daun sup.  Tutup periuk dan juga api.

**  Keluarkan ayam yg berdaging dan siat2kan dagingnya sebagai campuran hidangan

Bihun :  Rendam bihun utk beberapa jam sebelum dicelur.  Boleh juga letakkan kunyit macam saya jika suka ia berwarna..


Makan sup mesti nak ada sambal kicap... yg ni tumbuk cili padi + seulas bawang putih + gula + kicap shj....


Hidangan sampingan - RV dan cheese tart (tiada dlm gambar)..

Thanks for coming Shima, Zana, Jead & Ayu... sayang Fidah tak mai sekali... Apa2 pun cik mat ku turut gumbira hari ni... :D

April 27, 2011

Kuetiau Sup


Kuetiau atau kue tiaw... belasah je nak eja camne!  Yg sebenarnya tengahari ni pun akak masak kuetiau sup ala-belasah... hehe!  Janji yg utama, ada kuetiau.. bahan2 seterusnya apa yg ada je kat dapur comel tu!

Bahan2:

Kuetiau
Bawang merah - tumbuk
Bawang putih - tumbuk
Halia - tumbuk
Ayam - yg bertulang dan berdaging
Fish cake
Telur
Kiub ayam
Lada sulah
Air 
Garam secukup rasa
Minyak utk menumis
Sayur2an : sawi, karot, daun salad, tomato, taugeh, dll ikut citarasa
Hiasan : daun sup, daun bawang, bawang goreng
Lain2 : Sambal kicap

Cara2nya:

1)  Tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi
2)  Masukkan ayam dan fish cake dan balik2kan untuk seketika
3)  Masukkan air secukupnya dan biarkan sampai mendidih
4)  Masukkan kiub ayam, sayur-sayuran dan perasakan dengan garam dan lada sulah
5)  Matikan api dan tuang atas kuetiau *

*  Basuh dahulu kuetiau dan tuang air panas dan terus toskan.  Lalukan air sejuk supaya tak melekat.

Sambal kicap tumis

Bahan2 sambal kicap :  cili padi, bawang putih, bawang goreng, gula, kicap manis dan minyak utk menumis (cara2 tengok kat SINI)

Sebenornya akak lupa nak beli daun sup... bahan paling penting tu.. tp ttp habis.. huhuuu 

November 11, 2010

Mee Goreng Bujang


Hari ni hari rajinku memasak dan me'report'... Tadi pagi report pau kaya yg akak cuma makan seketui pastu belum teringin nak ulang.. Mee atas ni nama je bujang, tapi yg masak mak budak.  Sebenarnya bukan nak cerita pasal mee goreng ni, tapi asal usul mee ni... Memang dah lama tak makan mee goreng (mee kuning) sebab kat Bahrain ni takde jual sangat.  Ada kat pasar, Filipino yg buat, so tak tau halal ke tak... Adalah haritu Umi (kawan seM'sia) bagitau ada M'sian buat dan jual tapi kena call (tempah) dulu.  Malas la pulak nak tempah... Then haritu terbaca sorang blogger yg duk kat Germany, dia guna spaghetti yang direbus + serbuk kunyit + minyak untuk ganti mee.  So, hari ni tergerak nak testing... betul la, hampir sama (tapi tak serupa).  Bolehla nak buat ubat teringin...



Mee goreng saya ni cuma guna: bawang kisar, cili kisar, ikan bilis tumbuk, sos cili, sos tomato, kicap, gula, garam dan sayur-sayuran je.  Sebab tak plan awal2, udang dan ayam keras lagi kat freezer...malas nak cairkan.

Untuk mee:  Spaghetti, serbuk kunyit dan minyak > panaskan air hingga mendidih, masukkan semua dan rebus hingga lembut.

October 31, 2010

Mee Kering Goreng


Mee gorengku yang tak berapa reti nak make-up dan posing...  Tengok dalam kotak stok, tak berusik2 mee kering cintan saya.  Hajat hati nak cuba mee kolok, tapi belum cukup seru.  Mmmm... buat je mee goreng.  Walaupun itu gambar nampak pucat je, tapi hakikatnye licin licau kami makan hari Jumaat semalam.

Bahan2 (untuk 2-4 orang):

4 keping mee kering Cintan
6 ulas bawang merah - tumbuk
3 ulas bawang putih - tumbuk
4 ekor udang basah (sederhana besar)
1 cawan isi ayam
1 sudu cili kisar (nak lebih pun boleh)
Sayur-sayuran - saya suka carrot dan lettuce atau kadang2 kobis
1 biji telur
Sos cili  
Sos tomato 
Sos tiram
Kicap manis 
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya

Cara2 :

1)  Celur dulu mee kering.  Jangan sampai lembik atau masak..
2)  Panaskan minyak (banyak sikit) dan tumis bawang dan cili kisar hingga bawang layu.
3)  Masukkan ayam dan udang.  Bila ayam dah keputih2an, masukkan segala sos yang 4 tu... saya main tuang je... tapi sos tiram tu sikit je cukup (dalam 1 sudu).  Masuk juga gula dan garam.
4)  Masukkan pula mee dan sayur-sayuran...
5)  Akhir sekali buat lubang ditengah2 mee, pecahkan telur... kacau2 seketika dan gaul dengan mee...  siap!  Kalau cara hubby saya makan mesti ada limau nipis, tomato dan cili padi potong kecil2...

October 9, 2010

Mee Siam Berkuah

Ahha... ni dia mee siamku! Dah lama aku mengidam mee siam yg ada kuah ni. Aku teringat masa kerja dia Mega dulu, officemate ku Ismizah pernah bawa mee siam bersama kuah yg sedap. Sampai kini aku terkenang2, dan susah nak jumpa. Apalagi kat Selangor atau KL.. Duduk S'pore pun tak jumpa yg ada kuah ni. Tak abis merayap kot walau kat sana 2 tahun... Yang aku kekadang makan ialah mee siam yg sangat 'plain' rasanya huhuu..

Aku jumpa satu resipi ni kat MyResipi untuk ambil idea buat kuah.. Walau mungkin lain sikit rasanya dari mee siam Ismizah dan wife x-boss ku, boleh la menghilangkan keinginan..




Bahan2 (makan 2-3 orang) :-

Untuk mee:

1/2 bungkus mihun (rendam 1-2 jam atau celur kejap dgn air panas)
5 ulas bawang merah (atau 3 sudu besar yg dah siap kisar)
3 ulas bawang putih - kisar
1 sudu cili kisar
Sejemput udang kering (atau 1 sudu) - tumbuk/kisar
1 sudu tauchu
Kicap manis
Sos tomato dan sos cili
Garam dan gula secukupnya
Sayur-sayuran ikut suka - sawi, carrot, kobis, atau lain2
Udang, ayam, tauhu, telur rebus atau lain2 kalau nak tambah sebagai "aksesori"
Minyak masak

Untuk kuah:

3 sudu bawang besar yg dah siap kisar
2 ulas bawang putih (dah kisar sekali dgn bawang besar)
1 sudu besar cili kisar
1 sudu besar tauchu - kisar
2 sudu kacang tanah yg dah digoreng dan dikisar kasar..
1 batang serai - titik
1 mangkuk air asam - sedang2 masamnya
Garam dan gula

Cara2:-

Mihun:
1) Panaskan minyak dan tumis bahan2 kisar termasuk taucu, garam dan gula sehingga pecah minyak
2) Masukkan kicap dan sos. Kacau seketika.
3) Masukkan mihun dan sayuran. Gaul hingga semuanya bersatu. Tambah air kalau perlu terutama jika bihun hanya direndam.
4) Tutup seketika dengan api sederhana. Biarkan hingga masak dan rasakan masin dan manisnya (ikut citarasa..)

Kuah:
1) Panaskan minyak. Masukkan bahan2 kisar termasuk serai dan tumis hingga agak garing.
2) Masukkan air asam dan biarkan hingga mendidih dengan kepekatan sederhana.
3) Perasakan gula, garam dan asamnya (rasanya sedikit masam manis...)


Note: Masa nak makan tabur bawang goreng dan cili hiris (kalau suka). Letakkan juga telur rebus, tauhu goreng dll...


Menghidangkan dengan cara paling mudah... Kuah kurang cair sket tapi malas nak ambil tindakan :D


January 18, 2009

Char Kuey Teow

Rindu nak makan CKT macam kat KL.. tapi resepi yang ni not bad juga...

Bahan2:

(1) Untuk paste:
Udang basah - rebus sebentar dan ambil airnya
Bawang putih- diketuk
Sos tiram
Kicap pekat
Kicap manis
Pati ikan bilis
Garam
Gula
Petis (tapi aku tak letak pun..)

(2) Bahan2 lain:
Kuey Teow
Cili boh
Kerang
Taugeh
Daun Kucai
Telur
Minyak

Cara2:
(1) Reneh air rebusan udang dengan semua bahan (1) sehingga menjadi agak pekat. Paste ni boleh simpan dan guna bila2 masa.
(2) Tumis cili boh. Sesudah tu, masukkan udang dan kerang. [Aku suka letak hirisan bawang besar sekali]
(3) Masukkan pula paste dan kacau2 seketika. Masukkan air sedikit. Paste tu sepatutnya sudah cukup rasa, so takyah tambah2 bahan lain masa masak.
(4) Kemudian masukkan kuey teow, taugeh dan kucai.
(5) Pecahkan telur dan gaul seketika. Makan panas2 dengan perahan limau dan hirisan cili api atau cili jeruk.

Note: Masak sekejap je dengan api yang kuat..