September 29, 2017

Sambal Kacang Hijau Kedah


Assalamualaikum..

Hari ni hari Jumaat. Hari ni abe kita takdak. So, akak mulalah cari pasal kat dapur sebab tak perlu nak masak2 nasi, lauk bagai.. Sarapan pun dengan apa yang ada dulu. Sebab akak nak merealisasikan keinginan terhadap satu menu nih.. jejenggg.

Mulanya akak terbaca kekecohan sebentar di FB MAHN. Ada post pasal sambal ni yang patutnya jadi menu raya orang Kedah sinin. Tapi rupanya majoriti membidas kata tak pernah jumpa. Maklumlaa, kat sini kan biasa depa makan ketupat pulut dengan kari atau rendang. Akak tanya en abe pun sah2 dia tak tau apa hakhak!! Kesian sis tu.. Tapi bila baca komen2 yang ada, memangla wujud pun. Cuma kat sesetengah tempat macam kat belah Kodiang, katanya.

Bagi akak, toksah la pukul rata kata ada takda tu. Apa kata kita cuba, mana tau kena kat selera. Makin tambah2 nak makan. Bukan pelik pun rasa dia. Kang akak bagi makan LULANG lagi depa pelik kan.. hehehe padahal akak pun tak pernah makan benda lulang @ kulit lembu tu walau selalu ada kat meja makan di kampung. Ai is cannot, tak tau pasal apa.

Berbalik pada sambal kacang hijo nih... Memang tak banyak resipi kat google. Akak cedok2 ikut komen depa kat posting tu ja. Pastu akak samakan dengan yang biasa akak buat sayur kacang loto @ kacang sayur resipi orang2 Jawa kampung ai. Sebab bahan tak jauh beza. Yang merumitkan nak buat sambal ni ialah nak kena buang kulit tu. Tapi yang akak tengok, orang tu macam tak buang pun kulit. Leceh kan kalau nak cepat. Akak takpalah, hari ni ai is free. 

Cara makan kena dipadankan dengan nasi impit atau ketupat nasi. Sejak berkenalan dengan ketupat segera NINA tu, akak pakai hat tu ja. Kejadiannya lembut tak macam brand yg lain. Disebabkan selalu brand lain tu keras, akak dulu buat sendiri je. Tapi bila start dengan Nina, terus jatuh malass..haha! Beli kat Tesco RM2.80 untuk 10 biji.


SAMBAL KACANG HIJAU

Bahan2:

1 cawan 180ml kacang hijau - rendam semalaman dulu
2 batang serai
1 inci halia
1 1/2 inci lengkuas
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Cili padi ikut citarasa - lagi pedas lagi umph
Sejemput udang kering
Udang basah secukupnya
1 mangkuk santan pekat
Suhun - rendam
Garam

Cara2:

1) Kacang yg telah direndam semalaman, dibuang kulitnya. Kalau rasa tak rajin, tak buang pun takpa kottt... heeee
2) Serai, halia dan lengkuas dihiris nipis/halus
3) Tumbuk bawang, cili dan udang kering
4) Panaskan sedikit minyak dan goreng serai, halia dan lengkuas hingga agak garing. Masukkan pula bahan tumbuk dan tumis hingga naik bau.
5) Masukkan kacang dan kacau2, diikuti suhun, udang basah dan santan.
6) Masak sehingga kacang lembut dan kuah menjadi pekat.
7) Perasakan dengan garam.

Kacang hijau yang telah dibuang kulit... gigih tau!
Tumis sampai garing
Masuk kacang
Masuk santan dan masak sampai pekat
Siap!! Hang jangan pelik nohh... sedap. Tapi kalau jenis tak tahan, angin berasak nak keluar saja lah... hihi


Kari Daging Meletop

Assalamualaikum!!

Resipi ini adalah versi Philips Pressure Cooker (PPC). Post ini tidak berbayar hehehe.. Jadi bolehla nak guna apa-apa pun pressure cooker maupun periuk biasa.

Akak takda nak tunjuk sukatan bahan yang sebenar sebab akak main campak2 je. Cuma nak tunjuk macamana nak masak guna pressure cooker yang macam ni. Ikutlah resipi kari masing2 ya kalau dah biasa buat tu.  Jadi, idokle PC tu guna hanya untuk merebus atau lembutkan daging jer. Macam2 boleh guna. Setakat ni selain buat masak2 lauk, ada jugak akak buat bakar kek, steam, masak nasi arab, panggang ayam, rebus ketupat, dan sebagainya..

OK..mohle kita ke dapur ye.


KARI DAGING PPC

Bahan2:

500g daging - potong ikut suka
7 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
1 inci halia
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 peket kecil rempah kari daging
Sedikit serbuk cili (boleh guna juga cili kisar)
1 biji tomato
2 biji kentang
1 keping asam gelugur
1 mangkuk santan pekat
Daun kari
Air secukupnya
Garam
Sedikit gula
Minyak untuk menumis

Cara2 :
Lihat pada gambar

1) Tuang minyak secukupnya ke dalam periuk dengan setkan mode 'bake' pada mana2 kategori. Tekan 'start' dan bila minyak telah panas, tumis rempah serta bahan tumbuk/kisar sehingga layu dan naik bau.


2) Masukkan rempah kari, serbuk cili dan daun kari. Tumis hingga pecah minyak.

3)  Masukkan daging, gaul rata. Masak sebentar sampai daging kelihat sedikit pucat, kemudian baru tambah air agak-agak tenggelam sebahagian daging.

4)  Tutup periuk dengan tombol pada 'seal'. Setkan pada 'beef/mutton' dan tekan 'start'. Bila masa memasak sudah selesai, ubah tombol kepada 'release pressure' atau buang wap dan biarkan sampai senyap (tiada lagi wap), baru buka penutup.


5) Masukkan kentang pula. Tutup lagi dan set tombol kepada 'seal'.  Setkan pada 'chicken' yg guna masa sedikit atau boleh saja guna mode 'bake' jika kentang jenis yang mudah lembut. Buka semula penutup.

6) Apabila kentang sudah lembut, menggunakan mode 'bake' pada mana2 kategori, masukkan santan, tomato dan asam keping. Masa ni dah tak perlu tutup periuk. Renih sebentar. Perasakan dengan garam dan sedikit gula jika suka.



September 27, 2017

Kuih Kasui Sedap


Resipi kasui ni akak dapat kat FB. Tetiba semangat nak buat kasui. Memang selama ni suka makan, tapi tak pernah terfikir nak buat.

Ada 2 resipi yang akak test, tapi yang ini paling akak suka. Walau tak tahap gedik2, cukuplah tahap macam yang selalu beli tu. Satu adunan tu agak banyak. Bolehla faraid kat jiran jemuran sekali kalau ada. Rupa-rupanya ramai kawan2 akak memang peminat kuih ni. Terutama yg umur2 seangkatan dengan ku.


KUIH KASUI
Sumber : MAHN

Bahan2:

2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung ubi
3/4 cawan gula pasir (resipi asal 1 cawan)
1 cawan gula merah
5 cawan air
3/4 sudu kecil kapur + 3 sudu makan air - jadikan air kapur

Cara2:

1)  Masukkan kesemua bahan kecuali kapur ke dalam mangkuk. Kacau hingga sebati dan tapis
2)  Masukkan air kapur dan kacau rata
3)  Masukkan ke dalam loyang berukuran 10" (agak tebal) atau 12"
4)  Kukusan dipanaskan terlebih dahulu baru letakkan loyang ke dalamnya.
5)  Kukus selama 30- 35 minit.
6)  Potong apabila sudah sejuk.

Nota tambahan/tips : 
i) Untuk memperolehi struktur yg lebih kenyal bergoyang, kurangkan tepung gandum dan lebihkan tepung ubi
ii) Supaya air tak banyak menitik di tengah2, mula2 kukus tanpa letak kain pada penutup, bila dah separuh masa baru tutup dgn kain atau aluminium foil

iii) Bila dah masak, buka penutup dan biarkan dalam pengukus sehingga air yang berkumpul di permukaan kering, baru matikan api dan angkat.

August 1, 2017

APA KAKAK BUAT...

Akak belum bersara lagi... cuma bersarang mungkin. Masih mengambil tempahan jika ada yang sudi. Selalunya customers lama yg masih setia je. Macam selalu, tak semua permintaan dapat dipenuhi sebab banyak komitmen lain yang jadi priority.

Kadang rasa berkobar2 nak buat sesuatu yang lebih baik, tapi in the end tetap akan nampak yang satu ni jer. Lebih menggembirakan kalau dapat serve untuk family kecik nih sambil baring2 kan, takpun sambil mengunyah rempeyek kacang putih..hahaha! Jangan nak buat statement M sangat!!

Ustaz kata kalau sediakan hidangan buat suami dan anak2 (keluarga) kan ganjaran sangat besar. Somi pulak bukan sentiasa ada depan mata. Jadi kalau dia ada tu kita all out la..!

Untuk recharge blog sawang akak hari ni, mohle akan tepek beberapa gambar yang tak seindah mana ni... Antara aktiviti harian. Eh! Takkan berbulan2 ini2 jer... Alaaa..buat syarat udeh la!!

Gambar2 peristiwa lama dan baru..


NEW YORK CHEESECAKE - Nanti kalau free akak tulis resipi
MEE KICAP
Sekarang kena banyak2 makan ULAM PERIA KATAK ni.. nak balance kan gula dlm badan ni kununnya 😊
Hohoho... MEGI AYAM BIJAN pencetus selera..
Fav Abe n Me
LEPAT LABU - hidangan minum petang
COTTON SOFT CHEESECAKE - perabis stok creamcheese dan guna resipi baru

APAM untuk Abeku - abis dimakan, tak tinggal sikitpun
MARBLE CAKE ordered by FIZAH
SET UBI REBUS utk breakfaast
BROWNIES ordered by FIZAH
CARROT CAKE - 2nd time ordered by Noor Aini dari Kulim
FRUITS CAKE
STEAMED SIAKAP

Serunding Kelapa Untuk Lontong

Assalamualaikum...

Ohhh lama sudah tak bersiaran. Jangan ditanya kenapa... Kita mulakan balik dgn cerita LONTONG dan SERUNDING lah ekk...

Kalau makan lontong tanpa serunding, tetap sedap asal kuah lodeh tu sedap secukup rasa. Tapi kalau ada serunding ni, feel dia lain. Kalau kat tempat akak, memang lodeh tu macam tu aje, kosong takda serunding. Paling2 letak sambal merah atau kacang (sambal sate). Yang berserunding ni selalunya dari Selatan iaitu Johor dan Singapura.

Sebab lontong ni salah satu fav food akak, maka pelbagai variasi rasa pernah akak makan. Ikutlah sapa yg buat. Sedap atau tidak itu adalah subjektif. Ikut tekak masing2. Di tempat mak akak di Sg Besar, paling akak suka ialah lontong Mat Sabu. Memang lain sangat rasa dia dan diletakkan kacang sayur di dalamnya. Cuma ia agak manis. Yang selalu akak beli di gerai Kak Ruzi pun OK juga.. paling murah pernah jumpa. Bolehla jadi pengubat rindu. Kadang beli di kedai makan, takat rasa macam masak lemak bubuh lontong/nasi impit pun iya.. hehe.

Panjang cerita, sebenornya akak nak tulis resipi SERUNDING KELAPA tu ja. Nak buat rujukan, mana tau akak hilang ingatan nanti. Maklum, setahun sekali kot buatnya.. Masa tu terpaksalah buka balik blog kan..huhu! Ini versi simple, iaitu terus masuk je kelapa parut tu. Masak pun tak lama. Ada satu cara lagi, kelapa perlu disangan dulu sebelum digaul dan masak dengan bahan-bahan perencahnya sehingga jadi kering.



SERUNDING KELAPA

Bahan2:

2 cawan kelapa parut (anggaran RM1-2)
2 sudu cili kisar
2-3 ulas bawang merah (tengok saiz la ye..)
1-2 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas
1 batang serai - dititik
Sejemput bilis atau udang kering
1 sk ketumbar
1 sk jintan manis
1 sk jintan putih
1 sk serbuk kunyit (boleh adjust untuk nampak cantik..)
1 keping asam gelugor
2 helai daun limau purut
Garam
Gula
Minyak untuk menumis

Cara2:

1) Kisar cili, bawang merah dan putih, lengkuas dan bilis/udang kering, serbuk kunyit, ketumbar, jintan manis dan jintan putih.
2) Panaskan minyak dan tumis bahan kisar di atas. Masukkan serai, asam keping dan serai. Tumis sampai naik bau.
3) Masukkan kelapa parut, garam dan gula. kacau rata. Biasanya serunding kena manis sedikit, tapi kena balance dengan garam dan asam.
4) Kacau terus sehingga kelapa agak kering dan berderai serta cukup masak. Jika elok masaknya, serunding akan tahan lama. Nak lagi tahan, simpan di dalam peti sejuk.

Lontong akak pada suatu hari selepas hari raya...
Serunding ni boleh juga dimakan dengan nasi biasa, nasi ambeng atau dimakan dengan nasi impit/ketupat/lontong tanpa kuah lodeh tu. 

P/S: Gambar2 akak sekarang ni memang kualiti tak cun sebab HP akak tu cap ayam serama jer.. Kamera digital pulak dah tak pernah sentuh, duk tido dalam laci tu bertahun dah..


June 17, 2017

BUBUR SOMSOM TATI

Baru terjumpa resipi bubur somsom dari kawan yg dah lama akak letak kat draft folder. Dah makan tahun kekdahnyer..


BUBUR SOMSOM TATI

Bahan2 A.
2 cawan tepung beras
2 sudu besar tepung jagung
1 1/2 liter santan (dari sebiji kelapa)
Sikit garam - hujung sudu
2 helai daun pandan

Cara:
1. Satukan kesemua bahan dalam bekas.Kacau sekata. Tapis supaya tak de yang berketul2..
2. Masak dalam periuk/ kuali atas api sederhana. Kacau sentiasa sehingga bancuhan tepung menjadi likat dan meletup-letup supaya tanak.
3. Matikan api.Sudukan bubur sum sum ke dalam bekas yang sesuai. Atau masuk kat loyang... bila sejuk boleh dipotong..
4. Hidangkan bersama air gula merah.Sedap di makan ketika sejuk.

Bahan2 B.
Air Gula merah.
Bahan-bahan:
1 cawan gula merah
2 sudu besar gula
800 ml air
2 helai daun pandan

Cara:
1. Satukan kesemua bahan dalam periuk.Masak hingga mendidih.
2.Tapiskan.

Semasa tgh masak bahan A jika nampak mcm keras boleh tmbah air panas utk lembutkan... kacau sehingga rata sampai masak..

May 24, 2017

Kek Span Lembut Gebu

Semalam dan hari ini macam2 resipi kek span akak cuba demi nak menghasilkan sebijik kek snow cheese yang sedap.

Bukan tak biasa buat kek snow ni.. Cuma akak nak perbaharui rasa. Sementelah akak pun rasa dah agak lama tak buat kek ni. Cari punya cari, buat punya buat sebanyak 3 kek, akhirnya akak berkenan pada yang satu ini. Texturenya sangat lembut, gebu, sedap macam cotton cheese cake tuuu.. walau sedikit manis berbanding kek span koleksi akak yang biasa digunapakai.


Resipi ni akak dapat di MAHN, dan page Jom Belajar Buat Kek. Sumber asal ialah Suzy Esazyla. Tajuk asalnya pula ialah Snow Cheese Cake with Strawberry Jam.

Nin ja yg akak dapat tunjuk... Dah hampir sebijik saiz 8" hat balance dah masuk ke perut akak. Tu pun akak makan secara berhemah. Kalau tidakk...... gambaq ni pun tak sempat jumpa tau.. ehehe!

KEK SPAN (SPONGE CAKE) GEBU

Bahan2:

1 1/2 cawan tepung gandum
1 1/2 sk baking powder
7 biji telur (sy guna A)
1 1/2 sb ovalette
20 sb gula kaster (dlm 250g)
120 ml air biasa (paip)
120 ml mentega cair
Sebarang perisa (dlm 1 sk) dan pewarna
* Jika buat span coklat, tambah 2 sudu serbuk koko dan bancuh dalam air yg 120 ml tu...
Adunan untuk loyang - 9" lebar x 3" tinggi (sy guna 8 1/2" dgn berat 700g dan extra 300g guna loyang 8")

Cara2:

1) Putar telur, gula, ovalette dan tepung selama 10 min ke atas (sy cuma 5 min) sehingga gebu. Guna maximum speed, tapi jangan terlebih putar.
2) Masukkan air, pewarna dan perisa. Adun perlahan sahaja sehingga sebati.
3) Masukkan mentega cair dan kacau secara kaup balik.
4) Panaskan oven terlebih dahulu selama 10-15 minit dengan suhu 170C. Bakar kek selama 45 minit
5) Bila masak, segera terbalikkan atas redai, keluarkan loyang, biar dalam 1/2 min saja. Kemudian terbalikkan seperti asal.