Asalnya akak ternampak di blog Cute Oven Small Kitchen beberapa hari yang lepas.. Nampak sangat menarik. Tapi akak malas nak gi kedai bakeri sebab banyak lagi stok bahan kat dapur tu. Yang tak ada cuma perisa atau emulco jagung. Jadi, akak cuma beli perisa tu di Yawata, pasaraya tersohor di Jitra ni.. hehehe! Perisa cap star tu mungkin tak cukup rasa berbanding jenis paste pekat atau emulco yang selalu ada di kedai bakeri. Akak pun tak pasti ada ke tidak paste tu sebab tak pernah membelek.
Untuk kek span pula akak mencuba resipi Sweet4ever di MyResipi yang selalu disebut-sebut. Adunan agak banyak untuk kek bersaiz 8". Namun kejadiannya sangatlah baiknya. Sebenarnya tak banyak beza dengan resipi Pandan Layer tempohari. Akak ubah sikit resipi tu mengikut kesesuaian sebab resipi asal adalah untuk kek span pandan.
KEK LAPIS JAGUNG
(Rujukan: Cute Oven, Small Kitchen)
Bahan2:
150g tepung superfine
1 st serbuk penaik
150g gula kastor
5 biji telur A
1 sb ovalette
80 ml susu segar/full cream (saya tukar dr resipi asal)
80 ml minyak/mentega cair
1 st perisa/emulco jagung
1/2 st perwarna kuning (saya guna kuning telur)
Cara2:
1) Ayak tepung dan serbuk penaik terlebih dahulu
2) Masukkan sekali gula, ovallette, tepung dan telur ke dalam bekas pengadun. Pukul dengan kelajuan maksimum selama 5 minit (sehingga adunan pekat dan gebu).
3) Masukkan susu, perisa dan pewarna. Putar semula untuk beberapa minit (3-4) dengan kelajuan maksimum sehingga adunan ringan.
4) Tuangkan minyak atau mentega cair dan gaul hingga sebati dengan kaedah kaup balik menggunakan spatula atau senduk.
5) Tuang ke dalam loyang berukuran 8" yang terlebih dahulu dialas dengan kertas 'baking' dan disapu minyak/butter. Untuk kek span, biasanya saya tidak men'gris' tepi loyang supaya kek 'maintain' dengan ukuran asal atau tak mengecut bila keluar dari oven.
6) Bakar dengan suhu 165C selama 45 minit atau sehingga betul2 masak. Pastikan oven dipanaskan terlebih dahulu sebelum membakar.
7) Sisipkan tepi kek dengan pisau dan segera telangkupkan kek ke atas redai supaya ia tidak mendap.
Bahan2:
1200 ml santan - saya guna 200g santan kotak + air secukupnya
100 g tepung hoen kwee putih
1 cawan gula kaster
10 g serbuk agar-agar
Secubit garam
1 1/2 st perisa jagung
1 st pewarna kuning telur
Cara2:
Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk, sebaiknya yang non-stick. Gaul sebati guna hand whisk.
Letak atas api kecil dan kacau sehingga menjadi likat atau meletup2 dalam periuk. Tak perlu sampai kental sangat nanti takut tak cantik. Tak perlu juga tunggu sejuk, terus lakukan penyusunan kek dan kastad.
CARA NAK BUAT LAYER
1. Potong tepi kek dalam 1 cm.. saya letak loyang 7" di atas kek dan potong guna pisau biasa ikut ukuran loyang tu. Lepas tu, potong jadi 3 keping
2. Cuci loyang yang digunakan untuk membakar kek tadi tanpa menggunakan sabun untuk mengekalkan kesan minyak; atau sapu nipis mentega di dasar loyang sebelum menuang kastad.
3. Sendukkan sedikit kastad dan ratakan. Kemudian letak kek ke atasnya. Ulangi langkah ini sampai habis..
Pastikan kastad tu cukup ye.. Lagi satu, bila dah step akhir, ratakan kastad dengan spatula secara perlahan dan goyang2 sikit biar rata. Dah selesai, simpan dalam peti sejuk untuk menstabilkan kastad. Dalam 1-2 jam dah boleh keluarkan dari loyang dan potong..